Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

4) BELIA DAN SUKAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan Kerajaan Negeri untuk pembangunan sukan di Selangor

    Melalui Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7,000,000.00 bagi tujuan pembangunan sukan yang merangkumi perkara-perakara seperti berikut :-

    1. Program Latihan dan Kepakaran ( Kejurulatihan)
    2. Program Latihan dan Pembangunan Atlet
    3. Pembangunan Majlis Sukan Daerah (MSD)
    4. Program Pembangunan dan Perancangan Sukan Malaysia (SUKMA)

     

    Dengan peruntukan yang disediakan ini, Kerajaan Negeri berharap Negeri Selangor akan terus kekal sebagai salah satu kuasa besar dalam bidang sukan di Negara kita seperti menjadi juara keseluruhan pada kejohanan SUKMA XVIII Sarawak 2016 dengan jumlah keseluruhan kutipan pingat sebanyak 195 pingat (61 emas, 71 perak dan 63 gangsa) dan SUKMA XIX Perak 2018, Selangor telah berjaya meraih pingat keseluruhan berjumlah 182 pingat (47 emas, 68 perak dan 67 gangsa).

    Sehubungan dengan itu, bagi meningkatkan pencapaian dan performance atlet, penumpuan sepenuhnya perlu difokuskan kepada pembangunan ‘Sukan Berprestasi Tinggi’. Usaha-usaha dan pelan jangka panjang yang perlu dilakukan adalah dengan mewujudkan semula Unit Sukan Prestasi Tinggi (USPT) dalam memastikan bakat-bakat atlet pelapis dapat diasah untuk persediaan kejohanan sukan-sukan dan juga memastikan tidak berlakunya keciciran bakat.

    Penganjuran kejohanan sukan (membabitkan 30 jenis sukan) di setiap daerah juga perlulah dilaksanakan untuk memupuk semangat kesukanan dan secara langsung menggalakkan penyertaan bakat-bakat baharu. Usaha menggalakkan penganjuran dan penyertaan dalam kejohanan sukan bukan sahaja dapat mencungkil bakat-bakat baru, malahan bagi memupuk budaya kesukanan dan budaya hidup sihat di kalangan rakyat Selangor dan memberikan pendedahan kepada atlet mengenai pengurusan untuk menganjurkan kejohanan agar mereka memahami peraturan- peraturan dalam sukan serta memanifestasikan kesungguhan kerajaan untuk turut membantu dalam membangunkan sukan di Negeri Selangor. Di samping itu, pusat perkembangan bakat dan atlet muda di setiap daerah mahupun PBT perlu diwujudkan bagi merealisasikan kecemerlangan sukan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.