Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

73) BIASISWA MENTERI BESAR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Jumlah peruntukan dan jumlah penerima Program Tajaan Biasiswa Menteri Besar untuk kursus ijazah lanjutan di Negeri Selangor sehingga kini.

    Selaras dengan salah satu tawaran yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat bagi PRU13, Kerajaan Negeri Selangor sedang dalam proses memuktamadkan Biasiswa Dato’ Menteri Besar Selangor (BDMBS). Segala yuran berkaitan universiti, sewa penginapan dan wang saku bulanan yang berpatutan bagi menampung sara hidup penerima BDMBS akan ditanggung sepenuhnya (atau sebahagiannya mengikut kes). Satu “trust fund” atau dana amanah, lengkap dengan Lembaga Pemegang Amanah dan/atau Jawatankuasa Pemilihan akan dibentuk untuk mengendalikan BDMBS. Sekretariat dana amanah ini akan diletakkan di bawah Pejabat Menteri Besar atau Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI). Pada peringkat permulaan, sebanyak RM1.1 juta akan diperuntukkan setiap tahun. Jumlah biasiswa bagi setiap penerima dan bilangan penerima tahunan akan disyorkan oleh Lembaga Pemegang Amanah dan kemudiannya diluluskan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Tempoh maksimum menyudahkan ijazah sarjana adalah dalam masa dua (2) tahun dan bagi ijazah kedoktoran empat (4).

     

    Banyak bersandarkan kepada konsep dan pendekatan “The Rhodes Scholarship” dengan sedikit pelarasan, BDMBS juga bakal ditawarkan khusus untuk penuntut ijazah janjutan sepenuh masa (atau secara sambilan bagi kes- kes khas) di universiti tempatan atau luar negara terutama di institusi yang diiktiraf sebagai “ivy league”. Objektif utama adalah untuk:

     

    • menimbulkan minat melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi supaya lebih ramai cerdik pandai terutama pemegang ijazah kedoktoran dapat dilahirkan demi modal insan bertaraf antarabangsa
    • menyediakan generasi pelapis yang boleh dipupuk dan digilap untuk menjadi pemikir, perintis dan pemimpin masa depan bagi negeri Selangor dan Malaysia

     

     

    Di samping itu, BDMBS juga selari dengan inisiatif mendalamkan “kolam bakat dan pakar” dalam usaha meningkatkan nilai tambahan dalam rantaian bekalan dan ekonomi secara keseluruhan ke arah negara maju, berpendapatan tinggi.

     

    Antara syarat dan terma untuk layak menerima biasiswa yang sedang dipertimbangkan dan diperhalusi (kriteria kelayakan):

     

    • Warga Malaysia, lahir di Selangor (berdasarkan perlembagaan negeri) dan/atau sudah bermastautin di Selangor melebihi bilangan tahun yang akan ditetapkan
    • Tesis atau penyelidikan “post-graduate” yang menarik dan luar biasa dalam bidang sains tulen, sains sosial atau kesenian
    • Penglibatan komuniti atau dalam aktiviti kemasyarakatan seperti aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGOs), gerakan masyarakat madani, institusi pemikir/penyelidikan dan lain-lain
    • Kualiti dan nilai kepimpinan cemerlang
    • Anugerah dan pengiktirafan yang telah diterima daripada organisasi atau institusi yang diiktiraf
    • Pengalaman kerja minimum

     

Lampiran

Tiada Lampiran.