Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

109) BUDAYA DAN WARISAN SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan bagi memperkasakan perkara ini dikalangan belia?

    Pada asasnya, Kerajaan Negeri senantiasa menitikberatkan aspek budaya dan warisan dalam jati diri kehidupan masyarakat kita. Namun kita harus perakui bahawa budaya bangsa Melayu misalnya, merupakan jamak budaya dari pelbagai bangsa- bangsa lain, baik dari dalam negara ini mahupun luar negara. Maka dengan itu teras budaya dan warisan Selangor yang merencam menjadi aset penting dalam aspek pembangunan, pemeliharaan dan pemuliharaannya.

    Dalam konteks anak muda, kerajaan sentiasa memberi galakan dan dukungan dari pelbagai bentuk, selain pentas, kemudahan infra, bantuan-bantuan dana yang disalurkan menerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), serta Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah, telah menjadi sumber utama pembangunan dan kelestarian budaya dan warisan.

    Menerusi agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri, kita telah mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti NGO anak-anak muda yang terlibat aktif dalam aktiviti-aktiviti kebudayaan. Sebagai contoh, kewujudan laman-laman seni hasil usaha sama dan idea kreatif seperti di Seksyen 3 dan Seksyen 7, Shah Alam di bawah seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta beberapa tempat atau lokasi tumpuan anak muda di Petaling Jaya di bawah seliaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

    Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan telah bersetuju untuk menyuntik sejumlah dana sebanyak RM200 ribu untuk MBPJ dan MBSA sebagai modal untuk menggerakkan aktiviti dan pembangunan kebudayaan dalam usaha menjayakan matlamat penubuhan Kota Seni yang juga antaranya bertujuan untuk

    memperkasakan budaya dan warisan di kalangan anak belia di Negeri Selangor. Melalui peruntukan ini, pihak MBSA dan MBPJ akan bekerjasama dengan pelbagai pihak khususnya generasi muda untuk berganding bahu menjayakan aktiviti-aktiviti kebudayaan yang lebih terarah sifatnya.

    Selain daripada itu, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan juga telah  bekerjasama secara terus dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kebudayaan dalam merangka dan melaksanakan program mereka. Yang terbaru, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dengan kerjasama MBPJ telah menyokong penganjuran program Freedom Film Fest (FFF) 2015 oleh NGO Komas di Petaling Jaya dengan peruntukan sebanyak RM100,000.00. Penganjuran festival ini telah memberi impak secara langsung kepada Petaling Jaya sebagai salah satu pusat bandar yang menjadi tumpuan penggiat filem dan dokumentari tempatan dan luar negara.

    KOTA SENI

    Kerajaan Negeri telah meletakkan satu aspirasi bahawa suatu masa nanti, negeri Selangor akan berubah menjadi negeri Kota yang mana keseimbangan antara kemajuan fizikal harus seiring dengan kemajuan atau pembangunan intelektual.

     

    Justeru, cita-cita untuk menjadikan lokasi-lokasi tersebut di Selangor sebagai Kota Seni, diyakini dapat menyediakan Selangor dan warganya sebagai bangsa Madani yang maju inteleknya dan maju lahiriahnya.

     

    Objektif Kota Seni adalah untuk memastikan kesinambungan budaya dan warisan dapat dimajukan bersama-sama dengan seni kontemporari yang sedang berkembang sebagai sebuah industri kreatif yang akan memberi impak terhadap ekonomi dan sosial di Selangor.

     

    Strategi merealisasikan Kota Seni ini adalah dengan mengupayakan dua Pihak Berkuasa Tempatan iaitu MBSA dan MBPJ sebagai pusat kegiatan dan pembangunan kebudayaan negeri Selangor.

    Tiga elemen utama dalam Kota Seni iaitu, Identiti, Pendidikan dan Ekonomi. Menerusi Kota Seni, kita yakin bahawa Identiti negeri Selangor yang maju dapat dizahirkan dalam konteks yang lebih jelas yang dapat menjadi kebanggaan seluruh rakyat. Dalam aspek pendidikan pula, kita yakin bahawa pendekatan mendidik generasi baru terhadap apresiasi seni dan juga pengetahuan dalam industri kesenian akan menjadi tunjang utama kejayaan usaha ini. Menerusi pendidikan juga, tenaga- tenaga dalam Kota Seni dapat membuka jaringan yang lebih luas dengan pusat- pusat kebudayaan serantau.

     

    Bagi Fasa awal ini, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan selaku Urus setia Tetap sedang memberi tumpuan untuk memperkukuh dan memperkemas jentera di

     

    peringkat negeri dan PBT menerusi penubuhan Jawatankuasa Induk Kota Seni yang mana, Jawatankuasa ini akan menjadi badan yang bertindak merancang hala tuju, dasar dan pemantau terhadap usaha dan pelaksanaan program-program dan projek pembangunan yang bakal dilaksanakan.

     

    Jawatankuasa di peringkat PBT juga telah pun ditubuhkan sebagai Jawatankuasa Kota Seni Shah Alam, dan Jawatankuasa Kota Seni Petaling Jaya. Datuk Bandar pula berperanan untuk mengetuai Jawatankuasa ini bersama-sama dengan wakil dari pelbagai jabatan. Bagi memastikan usaha ini dapat dijalankan secara komprehensif, cekap dan jelas pelan perancangannya, beberapa pihak dan agensi luar kerajaan telah dikenal pasti untuk bekerjasama. Beberapa kumpulan dan orang perseorangan wakil dari kalangan profesional dan pakar dalam bidang-bidang seni rupa, arkitek, sastera dan seni persembahan, akan dijemput menyertai Jawatankuasa Kota Seni ini. Kumpulan ini akan membantu dari segi berkongsi pandangan dan idea serta saranan kepada Jawatankuasa Kota Seni ini dalam merancang hala tuju seterusnya melaksanakan pelan pembangunan dan program- program kebudayaan yang dirancang.

     

    MBSA dan MBPJ sedang merangka beberapa dasar dan peraturan termasuk beberapa cadangan untuk dijadikan cetakan biru (blueprint) untuk dilaksanakan seawal tahun 2016. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan sedang giat memperoleh maklumat dan berusaha untuk membangunkan pangkalan sumber maklumat atau Database Station yang mana data-data ini akan digunakan untuk kemudahan kerajaan, pengkarya, penggiat seni, syarikat, dan masyarakat awam sebagai rujukan dan koordinasi program-program akan datang.

     

    Satu bentuk pelan tiga (3) tahun akan dirangka untuk merealisasikan agenda Kota Seni ini dengan kerjasama rapat dari agensi-agensi kerajaan seperti PADAT dan Tourism Selangor. Kerajaan Negeri optimis dan yakin dalam tempoh 3 tahun mulai sekarang, MBPJ, MBSA dan Selangor secara keseluruhannya akan menjadi Hab Kebudayaan serantau yang dikenali oleh warga Asia serta berupaya meletakkan Selangor dalam peta seni dan kebudayaan dunia. Dalam konteks ini, generasi muda pastinya golongan yang akan mendapat impaknya sekali gus menjadi penyumbang utama dalam menjayakan agenda kebudayaan dan warisan negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.