Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

71) BUDAYA HIDUP SIHAT

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha serta inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan rakyat mengamalkan budaya hidup sihat?

    Kerajaan Negeri senantiasa menitikberatkan aspek kesihatan dalam pentadbiran negeri dan ini terbukti dengan perancangan pelbagai program yang menjurus ke arah tersebut. Di antara program terbesar bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat adalah program Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women). Melalui program ini, rakyat akan didedahkan dengan pelbagai tema kesihatan yang akan ditonjolkan semasa karnival dijalankan. Tema kesihatan yang dipilih akan diterjemahkan di dalam aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang Karnival 3W itu berlangsung. Di antara tema kesihatan yang telah dianjurkan semasa Karnival 3W adalah Hari Kanser, Hari Buah Pinggang, Hari Kesihatan Sedunia, Hari Tanpa Tembakau, Hari Denggi, Hari Pemakanan Sihat, Hari Jantung dan sebagainya. Pemilihan tema kesihatan ini secara tidak langsung akan mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap penjagaan kesihatan dan memperolehi info lebih spesifik terhadap isu kesihatan yang diketengahkan.

    Melalui Karnival 3W ini juga turut diadakan aktiviti 10,000 langkah yang akan diadakan pada awal pagi. Penyertaan aktiviti 10,000 langkah ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung-pengunjung yang hadir. Program pengurusan berat badan iaitu Slim Selangor 3W turut dilaksanakan dan ianya terbuka kepada orang awam untuk menyertainya. Selain daripada aktiviti fizikal, turut diadakan forum-forum kesihatan, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya. Penganjuran Karnival 3W ini boleh disimpulkan sebagai karnival kesihatan menyeluruh kerana pengunjung boleh mendapatkan pelbagai info dan aktiviti kesihatan percuma.

    Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut berganding bahu dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berunsurkan kesihatan di dalam kawasan pentadbiran masing-masing. Sebagai contoh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Hari Tanpa Kenderaan pada setiap bulan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan menggalakkan rakyat untuk memelihara alam sekitar. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain juga turut tidak terkecuali dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti kesihatan seperi acara larian, kayuhan basikal dan sebagainya. Penganjuran Bulan Sukan Negara di peringkat daerah juga turut diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan mengajak rakyat untuk lebih kerap bersukan pada bulan penganjuran tersebut.

    Kerajaan Negeri akan terus merangka program-program dan inisiatif-inisiatif terbaharu berdasarkan bajet yang dibentangkan bagi memastikan rakyat beroleh manfaat dalam memacu gelombang kesedaran penjagaan kesihatan yang sempurna.

Lampiran

Tiada Lampiran.