Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

137) CABARAN PEKERJAAN PARA GRADUAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk menaikkan kebolehpasaran para graduan lepasan UNISEL (Universiti Selangor)? Ini penting kerana para graduan menghadapi begitu banyak cabaran untuk mendapatkan pekerjaan di pasaran kerja.

    Pendemik Covid-19 ternyata menimbulkan kesan serius kepada pasaran kerja terutama bagi graduan lepasan universiti. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan sejumlah 1.25 bilion pekerja terancam di seluruh dunia akibat penularan pandemik COVID-19. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula mendapati pandemik ini memberi kesan negatif terhadap pelbagai sektor pekerjaan terutamanya perkhidmatan, logistik, pembuatan dan peruncitan. ILO juga menjangka dunia akan kehilangan 25 juta pekerja sepanjang tahun 2020. Malah kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula mendapati sejumlah 2.4 juta akan hilang pekerjaan.

    Keadaan ini tentunya turut memberi kesan ketara kepada kebolehpasaran graduan lepasan UNISEL terutama jika dilihat corak kebolehpasaran di Malaysia yang cukup mencabar sejak tiga tahun kebelakang.

    Menyedari hakikat ini, UNISEL menerusi usaha transformasi yang diterajui oleh Naib Canselor sejak 2016 telah mengenalpasti cabaran-cabaran bakal graduannya dan melaksanakan dasar yang mampu menaikkan kebolehpasaran graduannya. Usaha transformasi telah mampu membuatkan para graduan Unisel bersedia termasuk dalam berhadapan dengan impak pasca pendemik dalam era resam baru ini.  Antara langkah-langkah yang diambil oleh UNISEL adalah seperti ringkasan berikut:

    1. Melaksanakan dasar pelajar yang holistik dan inklusif bermula 2018. Dasar lengkap ini dinamakan Mahasiswa Budiman, Manusia Idaman dilaksanakan antara tujuan utamanya melahirkan graduan yang benar-benar holistik, punya nilai kemanusiaan tinggi, kreatif dan tahan uji. Modul-modul yang digunakan merangkumi segala aspek dalam menjadikan graduan UNISEL satu jenama dan mampu serta bersedia sebaik sahaja bergraduasi. Ini termasuk persediaan menjadikan graduan UNISEL lepas-laku dan mampu juga mencipta peluang perniagaan dan kerjaya.
    2. Melaksanakan program-program keusahawanan, sukarelawan dan persatuan dalam usaha meningkatkan kemahiran/ soft skills, kepimpinan, keyakinan diri di kalangan siswa. Ini termasuk menjadikan subjek-subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) diselarikan dengan kehendak pasaran dan masyarakat. Ini membolehkan pelajar didedahkan secara praktikal berkaitan aspek-aspek skil dan kepimpinan.
    3. Penubuhan Jabatan Pembangunan Pelajar dan Latihan di bawah kelola Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan jaringan Komuniti). Pelajar didedahkan dengan latihan khusus yang dinamakan VISI Budiman yang menerapkan elemen tahan uji bagi menyediakan pelajar yang mampu bersaing di pasaran pekerjaan atau apa jua bidang yang diceburi. Turut dilaksanakan adalah bengkel berkaitan seperti penyediaan resume, kursus protokol/tatarias, kemahiran komunikasi & Bahasa serta literasi perniagaan turut disertakan.
    4. Pemantapan Praktikum – UNISEL melaksanakan dasar penempatan pelajar di sektor industri utama dan yang bertaraf MNC bagi mendedahkan para pelajar dengan industri sebenar.
    5. Langkah drastik juga diadakan bagi pemadanan (mapping) kurikulum universiti dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa. Ini juga selari dengan fokus UNISEL terhadap program-program akademik yang mampu menbuka peluang pekerjaan dalam tempoh singkat dan bertepatan dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa.
    6. Penganjuran karnival kerjaya peringkat negeri dan kerjasama portal kerjaya turut dijalin dengan pelbagai organisasi. Antaranya karnival kerjaya negeri Selangor (jobvaganza), Bengkel keterampilan bina kerjaya serta jaringan kerjasama dengan portal seperti Pikoje.com.
    7. Mengadakan kerjasama melaksanakan pelbagai program keusahawanan untuk siswa oleh syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Selangor seperti PKNS dan Hijrah.
    8. Selain itu, UNISEL turut mengadakan MoU dengan pelbagai organisasi dalam memberi jaminan peluang latihan dan kerjaya kepada bakal graduan. MoU terbaru adalah bersama SELGATE pada bulan Jun 2020 bagi memberi ruang kepada bakal graduan Fakulti Sains Kesihatan untuk mendapat pendedahan dan peluang kerjaya.
    9. Mengukuhkan pembangunan sahsiah dan akhlak bakal graduan. Usaha mikro ini antaranya untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah punya jati diri sebagai insan budiman yang mampu dijadikan contoh. Usaha ini memberi nilai tambah yang sangat baik buat bakal graduan.

Lampiran

Tiada Lampiran.