Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

154) COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah bajet dan inisiatif yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi membendung wabak ini daripada terus merebak.

    Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal dan proaktif dalam usaha membendung penyebaran wabak Covid-19 ini dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Covid-19 atau lebih dikenali sebagai Selangor Task Force Covid-19 (STFC). Pasukan ini ditubuhkan untuk membantu Kerajaan Negeri di dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 di Negeri Selangor. Di antara fungsi pasukan ini adalah:

    1. Menyalurkan maklumat dan pendidikan kepada masyarakat mengenai pandemik Covid-19 dan pendidikan mengenai cara mengelak terkena jangkitan Covid-19 melalui promosi di media sosial dan cetakan gegantung;
    2. Merangka dan menyediakan Operasi Prosedur Standard (SOP) atau garis panduan kepada organisasi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri Selangor;
    3. Memberi nasihat kepakaran kepada penguasa agama mengenai aktiviti keagamaan dan rumah ibadat;
    4. Menyelaras mengenai kumpulan sasar bagi ujian saringan Covid-19 yang akan dilaksanakan di Negeri Selangor; dan
    5. Menganalisa dan membangunkan aplikasi contact tracing bagi memudahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menjalankan pengesanan kontak rapat.

     

    Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk memberikan elaun mesyuarat sebanyak RM500.00 kepada ahli-ahli Selangor Task Force Covid-19 (STFC) bagi setiap mesyuarat yang telah dihadiri. Sehingga kini, sebanyak 16 kali (Mac-Jun) mesyuarat telah dijalankan dan melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM28,000.00.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memainkan peranan dalam menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sektor-sektor ekonomi di Negeri Selangor dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) Negeri Selangor agar sektor-sektor ekonomi di Negeri Selangor boleh beroperasi dalam risiko penularan wabak Covid-19 yang sangat minima.

    Menyedari tentang pentingnya diagnosis awal jangkitan Covid-19 ini kepada masyarakat, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif dengan menjalankan saringan Covid-19 secara percuma di kawasan-kawasan berstatus merah dan berisiko tinggi di seluruh Negeri Selangor agar jangkitan di kawasan tersebut boleh diputuskan dengan pengesanan awal. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta dengan keseluruhan sebanyak 6,603 ujian saringan dijalankan. Kerajaan Negeri juga turut bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM2.06 juta bagi mengadakan ujian saringan Covid-19 fasa dua yang dijangka dijalankan secara berperingkat.

    Kerajaan Negeri turut bersimpati kepada pesakit dan ahli keluarga pesakit Covid-19 yang terpaksa ditahan di hospital, dikuarantin atau meninggal dunia dan menyebabkan kehilangan mata pencarian. Oleh yang demikian, bagi membantu pesakit Covid-19 dan ahli keluarga yang terkesan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta bagi bantuan sebanyak RM1,000.00 kepada setiap orang pesakit.

    Selain daripada itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memainkan peranan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan menjalankan aktiviti sanitasi di kawasan tumpuan awam seperti pasar awam, kawasan aktiviti ekonomi dan sebagainya. PBT akan sentiasa menjalankan kerja-kerja sanitasi dari semasa ke semasa bagi membendung wabak Covid-19.

Lampiran

Tiada Lampiran.