Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

41) CSR MBI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sumber pendapatan baharu negeri adalah daripada keuntungan operasi GLC-GLC yang di urus oleh MBI. Di segi peraturan adalah pendapatan ini mesti dimasukkan terlebih dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri atau boleh digunakan terus oleh MBI atas nama CSR?

    YB Semenyih telah bertanya daripada segi peraturan kewangan berkaitan sumber pendapatan baharu daripada keuntungan operasi GLC-GLC di bawah MBI sama ada perlu dimasukkan terus ke Kumpulan Wang Disatukan Negeri atau boleh dibelanjakan terus oleh MBI atas nama CSR. Sehubungan itu, saya akan menjawab soalan ini daripada segi peraturan kewangan yang digunapakai.

    Kumpulan Wang Disatukan Negeri terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Pinjaman Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan berdasarkan Akta Acara Kewangan (Akta 61) yang digunapakai. Berdasarkan Akta ini, di bawah Akaun Amanah Disatukan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan sebuah akaun amanah awam di bawah Seksyen 9 yang dikenali sebagai Akaun Amanah Sumbangan Anak Syarikat/Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri. Akaun amanah ini diwujudkan dengan objektif untuk melaksanakan program/projek dan aktiviti Kerajaan Negeri. Ia ditadbir urus oleh Perbendaharaan Selangor melalui Jawatankuasa Pentadbiran Akaun Amanah. Akaun amanah ini mengakaunkan segala terimaan sumbangan anak-anak syarikat dan menentukan bagaimana ianya perlu dibelanjakan selaras dengan peraturan kewangan yang berkuatkuasa. Pada tahun 2019, Tabung ini telah mengumpul sebanyak RM47,510,000.00 dan pada tahun 2020 setakat ini telah mengutip sebanyak RM2,750,000.00. Perbelanjaan yang telah dibuat melalui Tabung ini antaranya Program Tahfiz Al-Qiraat di KUIS, Skim Rawatan Penyakit Kardiovaskular Bersama IJN, Program Hari Raya Aidilfitri, Program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Sumbangan Bola Sepak dan Kejohanan Berbasikal Tour De Selangor. Maklumat terperinci mengenai sumbangan melalui Tabung ini adalah seperti di Lampiran 1.

    Dalam melaksanakan sesuatu CSR oleh anak-anak syarikat, dana yang digunapakai, boleh sama ada dimasukkan ke akaun amanah ini ataupun tidak. Akaun amanah yang dimaksudkan ialah Akaun Amanah Sumbangan Anak Syarikat/Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri. Sekiranya dana dimasukkan ke akaun amanah ini, maka ianya perlu diakaunkan dan dibelanjakan berdasarkan kepada tujuan akaun amanah ini diwujudkan serta perlu selaras dengan peraturan kewangan yang berkuatkuasa.

    Sekiranya dana tidak dimasukkan ke akaun amanah ini, anak-anak syarikat boleh melaksanakan CSR yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah di syarikat masing-masing. Dalam hal ini, pihak anak-anak syarikat terutamanya MBI turut melaksanakan program CSR dengan membuat perbelanjaan langsung dengan jumlah sebanyak RM74.4 juta. Antara program dan projek yang telah dilaksanakan dalam aktiviti CSR adalah Wifi Smart Selangor, Bantuan Kewangan Subsidiari, IDE, Tuisyen Rakyat, Program-program Pendidikan, Sumbangan Pembaikan Infra Sukan, Program Keagamaan, Sumbangan Kebajikan untuk Masjid dan Surau, Sumbangan Insentif Korban, Insentif Mahabbah Haji serta Sumbangan Tuisyen Rakyat. Butiran sumbangan-sumbangan ini adalah seperti di Lampiran 2.

Lampiran

Tiada Lampiran.