Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

75) CUKAI TANAH

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pemilik strata mengalami kenaikan cukai sebanyak 190% setiap meter persegi selepas penukaran sistem cukai tanah kepada sistem cukai petak. Adakah terdapatnya kesediaan untuk mengkaji semula sistem cukai petak untuk memastikan jumlah yang dikenakan mencerminkan saiz meter persegi setiap petak?

    Pengenaan cukai petak hakmilik strata di Negeri Selangor yang dilaksanakan adalah secara jelas merujuk di bawah Seksyen 23C(8) Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2016 [A1518] di mana cukai bagi petak hakmilik strata atau blok sementara hakmilik strata hendaklah dikira berdasarkan kadar meter persegi bagi setiap petak, atau petak dan petak aksesori, atau blok sementara.

    Berdasarkan seksyen tersebut, Kerajaan Negeri mengenalpasti wujud peningkatan cukai yang amat mendadak sekiranya pelaksanaan cukai petak ini dilakukan. Justeru itu, pihak Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 4/2018 bertarikh 07 Februari 2018 dengan memberikan pengurangan cukai petak sebanyak 70% bagi setiap petak hakmilik strata yang berstatus pembangunan kos rendah dan 25% bagi petak hakmilik strata yang berstatus pembangunan selain kos rendah.

    Selain itu, perbandingan peningkatan cukai petak adalah tidak tepat sama sekali sekiranya perbandingan itu dilakukan di antara cukai tanah dan cukai petak hakmilik strata. Ini kerana keluasan petak hakmilik strata secara keseluruhannya akan bertambah berbanding keluasan tanah disebabkan pertambahan bilangan tingkat serta petak yang wujud dalam satu-satu pembangunan.

    Peningkatan cukai petak hakmilik strata akan wujud adalah bergantung kepada bilangan jumlah petak hakmilik strata yang wujud di dalam satu-satu lot pembangunan. Ini bermaksud semakin banyak bilangan petak, semakin besar jumlah cukai yang dikenakan selaras dengan penambahan keluasan meter persegi dalam satu-satu pembangunan.

Lampiran

Tiada Lampiran.