Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

25) DAFTAR KEMISKINAN RAKYAT NEGERI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah daftar kemiskinan rakyat Negeri Selangor yang terkini?

    Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (seperti di JADUAL 6), negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun 2014.

    Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang data dan statistik keseluruhan jumlah penduduk miskin yang terkini serta tidak pernah menjalankan bancian kemiskinan khusus untuk negeri Selangor sejak tahun 2008. Namun begitu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh 4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik terus Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian bermula Mac 2015 hingga Mac 2016. Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk:-

    1. Mengenalpasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor;
    2. Menganalisis Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan; dan
    3. Mewujudkan dan membangunkan Sistem Maklumat yang dinamakan Informasi Kesejahteraan Rakyat Majmuk Selangor (IKRAMS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isi rumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK yang akan ditetapkan.

    Kajian ini dilihat berupaya membolehkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti dan merangka dasar baru, program dan peruntukan yang lebih komprehensif untuk membasmi kemiskinan secara efektif, mengenalpasti jumlah sebenar penduduk miskin serta memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan. Manfaat yang diperolehi melalui program-program bantuan ini membolehkan serta memastikan peluang ekonomi dinikmati secara saksama oleh rakyat Negeri Selangor tanpa mengira etnik dan latar belakang ke arah membentuk masyarakat yang lebih sejahtera, makmur dan berdaya maju.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan amat prihatin dan sentiasa komited dalam usaha membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira etnik dan latar belakang. Perkara ini dapat dilihat daripada penganjuran pelbagai program pembasmian kemiskinan yang memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-

    • Teras 1: Program yang berupaya menjana dan meningkatkan pendapatan:-
    • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
    • Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
    • Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS International College
    • Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
    • Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
    • Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.

    Selain itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin pula, Kerajaan Negeri turut membantu rakyat Selangor yang kurang berkemampuan memiliki rumah yang selesa sebagai tempat berteduh melalui Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa – jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan pelbagai lagi.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Dar Al-Qadr Al Hasan Selangor telah memperkenalkan Program HIJRAH Selangor, di mana merupakan program mikrokredit yang dijangka berupaya meningkatkan pendapatan rakyat Negeri Selangor serta melebarkan golongan kelas menengah. Ianya menggabungkan tiga skim iaitu Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel), Program Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) dan Skim Mikrokredit Wanita Ladang (WALA).

    Jawatankuasa Tetap Kemiskinan sentiasa berusaha menambahbaik program-program pembasmian kemiskinan sedia ada dari semasa ke semasa. Ini termasuk merancang dan menyediakan program-program sokongan yang lain bagi memastikan ianya memberikan impak bersifat jangka panjang dan ketara dari segi pengurangan kadar kemiskinan, pengecilan jurang pendapatan dan penyertaan yang lebih seimbang dalam aktiviti ekonomi.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.