Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

203) DASAR KEBAJIKAN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat Selangor berikutan peningkatan harga minyak dan barangan keperluan

    Kerajaan Negeri memandang berat mengenai masalah yang dihadapi oleh rakyat akibat dari kesan peningkatan harga minyak dan barang keperluan walaupun kawalan ke atas perkara ini adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri. Melalui program-program yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh Jawatankuasa Tetap Kebajikan telah melaksanakan program pemberian sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan sempena perayaan bagi membantu meringankan beban dalam membuat persiapan perayaan.

    Selain daripada itu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan juga turut melaksanakan program Jom Shopping kepada individu yang telah dikenalpasti untuk menerima bantuan baucar perayaan sebanyak RM100.00 bagi setiap keluarga yang layak mengikut perayaan kaum.

    Bantuan-bantuan lain juga turut disediakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa tetap Negeri Selangor seperti bantuan peralatan, mesin dan sebagainya kepada golongan yang layak menerima bantuan untuk membantu mereka menjana pendapatan sendiri untuk jangka masa yang panjang tanpa mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada Kerajaan Negeri, Lembaga Zakat Selangor atau lain-lain agensi. Melalui jaringan ini, sedikit sebanyak akan mampu untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat Selangor untuk meneruskan kehidupan yang sempurna.

Lampiran

Tiada Lampiran.