Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

128) DASAR KITAR SEMULA SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pelan tindakan dan sasaran di bawah Dasar Kitar Semula Selangor?

    Usaha untuk mewujudkan Dasar Pengasingan Sisa Pepejal atau Dasar Kitar Semula adalah sesuatu yang sangat baik dan tidak harus diketepikan. Namun begitu, pada masa ini, pihak Kerajaan Negeri belum mempunyai pelan tindakan dan sasaran spesifik berkaitan Dasar Kitar Semula Selangor.

    Untuk menuju ke arah itu, pihak Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan kempen-kempen dan program-program seperti program kitar semula yang berunsurkan pendidikan dan kesedaran melalui Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor demi melestarikan kehidupan rakyat dan kesejahteraan alam sekitar.

    Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Projek Perintis Kitar Semula di empat (4) buah PBT, iaitu MBPJ, MPAJ, MPKj dan MDHS pada tahun 2015. Berdasarkan Projek Perintis Kitar Semula ini, MBPJ dan MBSA telah dipilih untuk menjadi perintis bagi merangka Pelan Tindakan Kitar Semula berskala kecil.

    MBSA juga telah melaksanakan fasa pertama program pengasingan sisa dari rumah pada tahun 2015 yang melibatkan sejumlah 1,869 buah rumah teres.

    Pada tahun 2016, pihak MBSA telah meluaskan lagi program tersebut ke lima (5) lokasi dan mendapat penyertaan daripada 3,500 unit rumah teres.

    Pada tahun 2017, MBSA bercadang untuk melaksanakan program pengasingan sisa dari rumah untuk kawasan kediaman bertingkat jenis kos rendah, Terdapat sejumlah 132 pangsapuri jenis kos rendah di Shah Alam.

    MBSA juga telah merangka Pelan Tindakan Kitar Semula 5 tahun dengan sasaran penurunan jumlah sampah sebanyak 10% dan peningkatan kadar 5% kitar semula isi rumah setiap tahun bermula tahun 2017 hingga tahun 2021.

    Manakala MBPJ pula telah mensasarkan sebanyak 7,000 buah rumah bagi program pengasingan sisa pepejal di rumah kediaman. Setakat Jun 2017, sebanyak 1,500 buah rumah telah menyertai program tersebut. Oleh itu, MBPJ akan meneruskan pelaksanaan sepenuhnya dengan mengagihkan tong sampah MGB120 liter secara percuma kepada setiap pemilik rumah sebelum hujung tahun 2017 dan dijangkakan pelaksanaan program pengasingan sisa pepejal di rumah kediaman akan bermula pada pertengahan tahun 2018.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor  telah mengadakan Karnival Kepenggunaan Negeri Selangor yang akan diadakan di setiap kawasan PBT dengan objektif utama mendidik rakyat mengamalkan budaya pengasingan bahan kitar semula. Antara pengisian program ini adalah:-

    1. Taklimat Kepenggunaan;
    2. Pameran Kitar Semula;
    3. Pertandingan Reka Cipta Dari Barangan Terbuang;
    4. Demontrasi Kitar Semula;
    5. Menjalankan kempen-kempen seperti Hari Tanpa Beg Plastik; Pengurangan Penggunaan Bahan Polistrin; Kitar Semula Minyak

    Masak; dan vi)    Program 3R.

    Pada masa yang sama, bagi mengurangan kebergantungan pelupusan sampah di tapak pelupusan, Kerajaan Negeri melalui anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings Berhad (WHB) sedang dalam usaha untuk membangunkan

    Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) bersebelahan dengan Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (TPSJ) Kuala Selangor. ISWMC ini merupakan satu sistem pelupusan dan rawatan sisa pepejal yang menyeluruh merangkumi fasiliti atau kemudahan seperti berikut:

    i) Loji Waste To Energy (WTE);
    ii) Loji Kitar Semula;
    iii) Loji Pencernaan Anerobik (AD);
    iv) Loji Kompos;
    v) Loji Kitar Semula Sisa Binaan; dan
    vi) Pusat Penyelidikan & Pembangunan

    Dengan adanya ISWMC ini, sisa pepejal yang dihasilkan di Negeri Selangor bukan hanya dilupuskan, tetapi juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja, kutipan barangan kitar semula dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.