Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

168) DASAR MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Selangor dalam merealisasikan dasar merakyatkan ekonomi Selangor?

    Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) telah mula dilaksanakan pada tahun
    2008 oleh Kerajaan Neger Pakatan Rakyat Selangor dan ia dilaksanakan secara
    berperingkat. Sehingga kini fasa pertama dan kedua program MES sudah pun
    dilaksanakan dengan jayanya. Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah
    dalam merealisasikan program ini menerusi program-program iaitu :
    i. Program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) yang merupakan salah satu
    program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Negeri
    Selangor. Program ini adalah bertujuan untuk memberi manfaat kepada semua
    Anak Selangor dengan perlindungan insurans sehingga berusia 18 tahun. Pada
    usia 18 tahun, semua anak Selangor ini berpeluang menerima RM1,500 seorang
    hasil caruman di dalam pelaburan ini. Sehingga Jun 2010, seramai 13,424 orang
    anak kelahiran Negeri Selangor yang menepati syarat berjaya diluluskan untuk
    Program Tabung Warisan Anak Selangor.
    ii. Program Bekalan Air Percuma Bagi 20 Meter Padu pula membolehkan rakyat
    Negeri Selangor yang mempunyai meter individu terus menikmati bekalan air
    percuma sebanyak 20 meter padu. Setiap bulan, Kerajaan Negeri berusaha
    meneruskan program air percuma ini kerana ia ternyata membantu mengurangi
    beban kewangan rakyat dalam perbelanjaan utiliti yang semakin meningkat.
    Dalam hal ini, sebanyak 3,463,702 orang yang telah mendapat faedah dari
    program ini di mana sebanyak lebih kurang Rm230 juta sudah dibelanjakan.
    iii. Dalam program Hadiah Anak Masuk Universiti, Kerajaan Negeri memberikan
    wang tunai RM1,000 kepada anak Selangor yang mendapat tempat di Institusi
    Pengajian Tinggi, tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan. Sehingga Mei
    2010, seramai 11,802 pelajar menerima hadiah RM1,000 setiap orang bagi
    menampung keperluan semasa mendaftar belajar di Institusi Pengajian Tinggi.

    iv. Program Skim Mesra Usia Emas dilancarkan bagi membantu mengurangkan
    beban kewangan waris kepada warga emas yang meninggal dunia di Negeri
    Selangor. Program ini bertujuan untuk memastikan agar setiap warga emas dan
    orang kurang upaya (OKU) diberi penghargaan dan penghormatan yang terbaik
    dan berpatutan. Sehingga Jun 2010, seramai 11,683 orang waris telah menerima
    faedah tersebut. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak Rm27.5 juta
    untuk program ini di mana setiap waris menerima RM2,500 seorang.
    v) Bagi pelaksanaan program MES seterusnya, Kerajaan Negeri menubuhkan
    syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi melaksanakan Program
    Peningkatan Hasil Daripada Bahan Batuan dan Mineral. Sehingga Jun 2010,
    hasil daripada penjualan pasir yang sudah diterima dan dikumpulkan adalah
    berjumlah RM62.6 juta dan royalti yang telah diberikan kepada Kerajaan Negeri
    adalah sebanyak Rm12.4 juta. Royalti yang diterima ini diagihkan kepada rakyat
    Negeri Selangor melalui program-program kebajikan yang telah diwujudkan oleh
    Kerajaan Negeri Selangor.
    vi) Program Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang pula diwujudkan bertujuan
    memberi bantuan kewangan kepada anak-anak pekerja ladang untuk
    menyambung pelajaran dalam kursus kemahiran teknikal di INPENS. Sehingga
    Jun 2010, seramai 215 orang anak pekerja ladang melanjutkan pelajaran di
    INPENS dengan bantuan skim Tabung Anak Pekerja Ladang ini. Selain daripada
    bantuan melanjutkan pelajaran di INPENS, anak-anak pekerja ladang ini diberi
    bantuan dari segi kewangan seperti bantuan tambang bas sekolah, bantuan
    tuisyen, bayaran yuran sekolah dan lain-lain. Jumlah penerima faedah bagi
    bantuan ini adalah 5,072 orang dan jumlah wang yang telah dibelanjakan adalah
    sebanyak RM2.6 juta.
    vii) Bagi Program Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC), sebanyak 6 buah Pusat
    Khidmat Krisis Sehenti diwujudkan di Selangor, iaitu Hospital Ampang, Hospital
    Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Klang dan Hospital
    Kajang. Program ini diwujudkan untuk membantu golongan wanita dan kanakkanak bagi kes-kes seperti rogol, liwat, keganasan rumah tangga dan lain-lain
    kes jenayah. Pusat ini bertindak sebagai first respondent/point of contract bagi
    kes-kes yang dinyatakan di atas.
    Kerajaan Negeri juga mengambil langkah untuk memperluaskan lagi dasar ini dengan
    mempelbagaikan lagi program-program kebajikan untuk kebaikan dan kemudahan
    rakyat Negeri Selangor. Perkara ini dapat dilihat melalui program MES Fasa 2 yang
    sedang dilaksanakan iaitu :
    1. Cuti bersalin selama 90 hari
    2. Cuti untuk suami yang isterinya bersalin selama 14 hari
    3. Cuti kematian suami selama 30 hari.

Lampiran

Tiada Lampiran.