Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

94) DASAR PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Dasar Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor?

    Dasar Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor adalah berteraskan kepada segala hasil dan kekayaan ekonomi negeri Selangor akan dikongsi bersama seluruh rakyat Negeri Selangor. Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) merupakan dasar Kerajaan Negeri Selangor yang baru di mana konsep ini yang diilhamkan oleh YAB Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim, Dato’ Menteri Besar Selangor yang berpendapat bahawa keseimbangan dalam segala aspek pembangunan fizikal serta sosial perlu wujud agar kualiti hidup rakyat Selangor dijamin serta memastikan Negeri Selangor kekal maju, harmoni serta bersih. Dasar ini merupakan satu pendekatan yang baru di mana segala hal-hal kebajikan rakyat Negeri Selangor dijaga dan diberi perhatian penuh oleh Kerajaan Negeri Selangor tanpa mengambil kira status kaum, agama, usia dan fahaman politik. Program-program yang dilaksanakan menerusi konsep ’Merakyatkan Ekonomi Selangor’ bertindak sebagai serampang dua mata di mana memulangkan semula hasil negeri kepada rakyat Negeri Selangor dan seterusnya dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Negeri Selangor khususnya bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan yang rendah. Pada masa kini, Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM1500 dikategorikan sebagai golongan miskin. Dengan perlaksanaan MES ini, perbezaan antara golongan kaya dan miskin dapat dikurangkan dan seterusnya rakyat dapat menikmati hidup yang lebih selesa dan harmoni dalam Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.