Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

89) DASAR PERSARAAN PEKERJA LADANG

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar Kerajaan Negeri Selangor terhadap Persaraan bagi Pekerja Ladang?

    Seringkali kita mendengar isu dan masalah yang dikaitkan dengan pekerja – pekerja ladang yang telah bersara. Masalah – masalah akan timbul setelah pekerja ladang berkenaan terpaksa keluar dari rumah kuarters ladang yang didiami sekian lama mengakibatkan mereka kehilangan tempat berteduh, hilang punca pendapatan dan secara tidak langsung peningkatan kos sara hidup disebabkan oleh bayaran sewa rumah yang tinggi serta ketidakstabilan ekonomi keluarga. Kebanyakan daripada pekerja ladang tidak mempunyai kediaman atau tanah sendiri dan hal ini mengakibatkan golongan seperti ini seringkali mendapatkan perhatian daripada ADUN-ADUN kawasan

     

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang tiada dasar khusus untuk membantu pekerja ladang yang telah bersara. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang adalah berperanan untuk membantu seluruh pekerja ladang di Negeri Selangor menghadapi kehidupan persaraan dengan penganjuran program-program yang dapat memberi manfaat kepada golongan sasaran ini. Bagi pekerja ladang yang telah bersara, Kerajaan Negeri telah menganjurkan beberapa program berbentuk latihan kemahiran dengan diterapkan asas-asas untuk memulakan sesebuah perniagaan. Program-program dan kursus kemahiran yang telah dijalankan adalah seperti kemahiran membuat kek, kemahiran menjahit, kemahiran bersolek, seminar motivasi, ceramah bagi meningkatkan semangat dan keyakinan diri dan sebagainya. Antara yang utama adalah Program Bantuan Mesin Peralatan Blueprint yang mana pemohon boleh membuat permohonan bagi memiliki mesin atau peralatan secara percuma bagi memulakan suatu perniagaan demi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

     

    Walau bagaimanapun, dalam tinjauan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri, bekas pekerja ladang lebih cenderung di dalam bidang pertanian dan justeru itu memohon kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan tapak tanah untuk dijadikan sebagai kebun kecil – kecilan yang dapat menampung keperluan mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.