Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

183) DASAR PERTANIAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai Dasar Pertanian Negeri sendiri

    Sektor pertanian adalah merupakan sektor yang paling penting di dalam memastikan sekuriti makanan (food security) berada pada tahap yang terbaik. Namun begitu, sebagai sebuah negeri maju yang berlandaskan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang mana sektor perkhidmatan dan pembuatan sebagai sektor utama, tahap guna tanah untuk tujuan pertanian semakin berkurangan.

    Bagi memastikan sektor pertanian di Negeri Selangor sentiasa aktif dan kekal releven di kalangan rakyat, satu Dasar Pertanian Negeri Selangor telah digariskan berpaksikan kepada 5 teras iaitu:

    1. Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Dan Penggunaan Teknologi Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi galakan kepada usaha-usaha penyelidikan dan juga penggunaan teknologi moden di dalam pengeluaran hasil yang berkualiti dan selamat. Antara contoh sub sektor tanaman yang sedang diperingkat kajian dari segi ekonomikal adalah tanaman di dalam bangunan yang menggunakan sumber lampu bagi menggantikan cahaya matahari dan juga kawalan suhu disamping ianya selamat dan kadar pertumbuhan yang lebih cepat berbanding penggunaan kaedah biasa di atas tanah. Cara tersebut telah mula popular di Negara Jepun, China, Taiwan dan juga Singapura kerana ianya juga boleh menjimatkan ruang.

    2.  Pengeluaran

    Pengeluaran hasil pertanian yang akan diberikan penekanan adalah menjurus kepada tanaman atau penternakan termasuk akuakultur yang bernilai tinggi (high value crop) sebagai contoh tanaman golden melon berkonsepkan fertigasi di mana ianya tidak memerlukan kawasan yang terlalu luas untuk menghasilkan pengeluaran yang banyak dan berkualiti dengan menggunakan sistem tanaman yang berteknologi tinggi.

    3. Pemasaran

    Lebih banyak lokasi-lokasi jualan secara terus akan dibuka dengan objektif utama adalah memastikan pengusaha boleh menjual dengan memperoleh keuntungan yang lebih baik dan pengguna dapat membeli dengan harga yang lebih murah. Ianya termasuk kaedah jualan secara atas talian (online marketing).

    4. Pembangunan Usahawan

    Berusaha untuk mewujudkan lebih ramai usahawan di sektor pertanian di dalam pelbagai cabang seperti tanaman, penternakan, akuakultur dan juga Industri Asas Tani (IAT) dengan melaksanakan kursus-kursus dan juga seminar-seminar yang berkaitan khususnya kepada golongan genersi muda.

    5. Agro Pelancongan

    Di dalam pelaksanaan setiap projek-projek pertanian, unsur-unsur agro pelancongan akan diterapkan di mana ianya boleh menjadi pendapatan tambahan kepada pengusaha dan juga penduduk setempat (economic spillover) sebagai contoh projek penternakan lebah kelulut di mana selain dari hasil madu, pengusaha juga boleh menyediakan satu tempat penerangan berkenaan dengan industri kelulut dan juga maklumatmaklumat yang boleh menarik perhatian pengunjung termasuk mini muzium kelulut.

Lampiran

Tiada Lampiran.