Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

156) DASAR PERUMAHAN NEGARA (DRN) 2018 -2025

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan pelaksanaan objektif-objektif Dasar Perumahan Negara berjalan secara berkesan di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Dasar Perumahan Negara (DPN 2018 – 2025) yang diterbitkan pada tahun 2018 telah mengambil contoh serta input- input daripada dasar- dasar perumahan sedia ada di negeri Selangor terutamanya Dasar Rumah Selangorku sebagai panduan dalam merangka DPN tersebut memandangkan Dasar Rumah Selangorku ini wujud lebih awal daripada DPN. Sebagai rujukan Yang Berhormat, Kerajaan Negeri pada tahun 2013 telah mengeluarkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 1 Januari 2014 diikuti Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 2 April 2018 di mana terdapat beberapa penambahbaikan ke atas dasar Rumah Selangorku yang dikeluarkan pada tahun 2013 tersebut.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan dalam merangka sesuatu dasar. Sesuatu dasar yang akan dibuat / dirangka akan turut melibatkan jabatan-jabatan / agensi-agensi kerajaan di peringkat Persekutuan. Sebagai contoh, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dijemput hadir di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor agar sesuatu keputusan yang dibuat selari dan tidak bercanggah dengan dasar- dasar di peringkat negeri dan persekutuan.

     

    Dasar perumahan di peringkat negeri adalah mempunyai objektif yang sama dengan DPN. Namum begitu, kaedah dan strategi serta pendekatan adalah berbeza mengikut kepada kesesuaian keadaan semasa dan setempat.

     

    Di antara objektif / fokus di dalam Dasar Perumahan Negara (DPN 2018 – 2025) dan Dasar Rumah Selangorku adalah seperti berikut :

     

    1. Aspek permintaan dan penawaran perumahan. Melalui permintaan ini akan dapat memastikan perumahan yang mempunyai permintaan tinggi yang sepatutnya berada di pasaran di samping keupayaan pembeli untuk memiliki rumah sama ada rumah harga kawalan atau rumah harga bebas.

     

    1. Penyediaan perumahan harga kawalan / perumahan mampu milik. Memastikan rumah harga kawalan / rumah mampu milik berada di pasaran.

     

    1. Pengagihan perumahan yang adil dan saksama bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dapat membeli rumah harga kawalan dan bukannya untuk tujuan spekulasi hartanah.

     

    1. Aspek interaksi sosial / kejiranan yang baik yang menjadi pemangkin kepada keharmonian dan kesejahteraan di sesuatu kawasan kejiranan.

     

    1. Aspek penyelenggaraan perumahan berkualiti yang mana dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan pengurusan sekaligus dapat mengurangkan beban penduduk terutamanya yang mendiami skim perumahan strata.

Lampiran

Tiada Lampiran.