Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

189) DASAR RUMAH SETINGGAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai dasar penempatan setinggan? Jika ada, nyatakan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (MMKN) ke 37/2009 yang disahkan pada 25 November 2009 berkenaan Isu Perobohan Rumah Setinggan, MMKN telah menimbang dan bersetuju bahawa rumah kediaman yang didiami oleh Warganegara Malaysia yang dibina sebelum Jun 2008 atas tanah kerajaan akan dikecualikan daripada tindakan perobohan rumah setinggan supaya rundingan penyelesaian dapat dilakukan. Manakala rumah setinggan yang tidak termaktub kepada syarat-syarat ini tidak akan diberi pengecualian oleh Kerajaan Negeri.

    Manakala melalui keputusan MMKN ke 7/2014 yang disahkan pada 26 Februari 2014 berkenaan Penempatan Peneroka Bandar, “MMKN bersetuju penempatan asal peneroka bandar dirobohkan setelah mereka mendiami penempatan baru. Ini bertujuan mengelakkan isu penempatan asal tersebut disewakan atau didiami peneroka bandar yang baru. Terdapat juga peneroka asal terus  mendiami  penempatan  berkenaan  sepertimana  yang  berlaku di Kampung Kenangan dan Kampung Berembang. Sehubungan dengan itu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) diminta menyelaras isu  penempatan  peneroka  bandar  bagi pembangunan baru dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah Daerah yang terlibat. Lokasi asal peneroka bandar perlu segera dirobohkan dan diselenggara untuk kemudahan awam sebaik sahaja peneroka bandar mendiami penempatan baru.”

    Oleh yang demikian bagi menjawab kepada soalan yang diajukan di atas, buat masa sekarang Kerajaan Negeri tidak mempunyai dasar penempatan setinggan yang spesifik. Walau bagaimanapun, terdapat penyelesaian yang dibuat oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) yang berkenaan berdasarkan mengikut keadaan kes (“case by case basis”) di mana cadangan untuk penyelesaian penempatan setinggan akan diangkat untuk pertimbangan MMKN dan disyorkan untuk ditawarkan mana-mana projek rumah kos rendah melalui LPHS tertakluk kepada kesediaan unit atau projek yang ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.