Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

9) DEMOKRASI DAN URUS TADBIR BAIK

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berhubung dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sila nyatakan tempoh masa Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pendemokrasian PBT.

    Pendemokrasian PBT melalui Pilihan raya Kerajaan Tempatan tidak dapat dilaksanakan buat masa ini memandangkan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor masih tertakluk di Bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang secara jelasnya dinyatakan bahawa Pilihanraya Kerajaan Tempatan adalah tidak dibenarkan. Kekangan undang-undang ini tercatat di bawah seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Berdasarkan hal ini, Kerajaan Negeri perlu mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan bahawa enakmen pilihanraya kerajaan tempatan yang diluluskan oleh Kerajaan Pulau Pinang pada 2012 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak dibenarkan untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

    Oleh yang demikian, bagi menjayakan pelaksanaan Pilihanraya Kerajaan Tempatan, pindaan kepada seksyen 15 Akta 171 ini perlu dibuat di peringkat Parlimen. Sekiranya pindaan kepada Seksyen 15 Akta 171 berjaya dilaksanakan, Kerajaan Negeri komited Pilihanraya Kerajaan Tempatan dapat dilaksanakan seperti yang telah dijanjikan sungguhpun ia kelihatan sukar akibat kekangan sedia ada. Namun begitu, cara pemilihan Ahli Majlis boleh dikaji semula supaya rakyat tempatan dapat mengambil bahagian dalam proses pelantikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.