Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

46) DENGGI

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah afirmatif yang diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan kes denggi berkurangan?

    Langkah-langkah alternatif yang diambil oleh pihak Majlis adalah seperti berikut:

    i) Pelan Tindakan Denggi PBT di Lokaliti Hotspot

    Bilangan lokaliti hotspot sehingga minggu ke 10/2015 (08/03/2015 hingga 14/03/2015) sejumlah 44 lokaliti hotspot aktif dicatatkan di kawasan pentadbiran MBSA.

    Penumpuan lokasi untuk aktiviti pemeriksaan pembiakan Aedes adalah kepada empat kawasan iaitu

    • lot/ tanah kosong
    • pusat kitar semula
    • tapak bina terbengkalai
    • sampah haram

    Aktiviti ‘larvaciding’ serta aktiviti penguatkuasaan juga dijalankan sekiranya terdapat kesalahan pembiakan jentik-jentik. Aktiviti ini dijalankan setiap hari manakala laporan dihantar ke pihak KPKT pada kekerapan mingguan.

    ii) Jadual One Stop Coordinating Center

    Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Petaling menyediakan jadual aktiviti kawalan (aktiviti semburan ruang thermal dan aktiviti semburan ruang ULV) setiap hari untuk dilaksanakan oleh setiap PBT. Jadual disediakan berdasarkan notifikasi kes demam denggi yang diterima. Aktiviti dilaksanakan setiap hari.

    iii)        Penubuhan ‘Task Force’ Denggi MBSA

    Pihak Majlis telah menubuhkan pasukan task force denggi peringkat Majlis pada bulan Julai 2014 bagi memastikan penduduk Shah Alam bebas dari penularan kes demam denggi

    Sebanyak 19 pasukan task force denggi telah ditubuhkan melalui Mesyuarat Penyelarasan Pelan Tindakan Wabak Denggi pada 7 Ogos 2014. Setiap pasukan task force denggi dipertangungjawabkan ke atas satu kawasan atau jenis premis untuk dilawati. Pemeriksaan dijalankan bagi memeriksa kebersihan kawasan secara amnya, mengenalpasti sebarang permasalahan dan sekiranya perlu mengambil tindakan secara holistik dan bersepadu.

    Berikut adalah pecahan pasukan ‘task force’ denggi mengikut kawasan atau jenis premis

    • Bangunan berstrata (2 pasukan)
    • Tapak bina
    • Tapak bina/ projek terbengkalai
    • Pembersihan longkang monsun
    • Pembersihan awam
    • Longkang tanah luar bandar
    • Tempat pembuangan sampah haram
    • Tempat perniagaan barang lusuh/ besi buruk
    • Kilang-kilang
    • Pembersihan jalan-jalan protokol/ persiaran/ tasik/ taman
    • Tanah kosong
    • Rumah kedai/ pasar/ food court/ gerai/ restoran
    • Aset kerajaan – milik MBSA
    • Aset kerajaan – selain milik MBSA
    • Kampung tradisi
    • Taman perumahan (2 pasukan)
    • Institut Pengajian Tinggi

    Ketua kumpulan dilantik dari kalangan pegawai kumpulan Pengurusan dan Professional dari pelbagai jabatan. Pergerakan kumpulan-kumpulan ini ditentukan oleh ketua kumpulan berdasarkan lokaliti hotspot demam denggi.

    Aktiviti pencegahan Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor

    Program Terjah dan Musnah Aedes telah dilaksanakan pada 7 Februari 2015 di Seksyen 6 di mana YAB Menteri Besar Selangor telah turut serta di dalam program ini. Aktiviti utama yang telah dilaksanakan adalah pemeriksaan dari rumah ke rumah oleh pasukan ‘task force’ denggi MBSA. Selain dari itu, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat turut membantu dengan menghantar pasukan gotong-royong.

    Kesinambungan dari itu, pihak Kerajaan Negeri melalui UPEN telah menyediakan satu pelan pencegahan demam denggi iaitu program ‘Terjah & Musnah Aedes’ yang menitikberatkan aktiviti pencegahan di kawasan-kawasan yang berisiko untuk diperiksa. Aktiviti ini merangkumi pemeriksaan di premis seperti berikut:

    • Kawasan perumahan
    • Tapak binaan
    • Pangsapuri kos rendah
    • Taman awam & taman rekreasi
    • Kawasan kg baru Cina
    • Kawasan kg tradisi
    • Kuarters kerajaan
    • Sekolah
    • Tadika
    • Masjid & surau
    • Rumah ibadat
    • IPT
    • Kawasan komersil
    • Industri

    Aktiviti dilaksanakan setiap hari dan laporan dihantar secara mingguan kepada pihak UPEN.

    v) Aktiviti promosi kesihatan

    Sebanyak 7 pameran, 5 ceramah serta 26 aktiviti gotong-royong menangani demam denggi telah dijalankan. Ke semua aktiviti ini dijalankan secara berterusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.