Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

27) EARLY INTERVENTION PROGRAMME

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan EIP yang lebih luas yang dapat dinikmati oleh lebih ramai keluarga yang mempunyai anak-anak yang berkeperluan khas?

    Pendidikan Early Intervention Programme-EIP adalah merupakan isu global yang seharusnya dititikberatkan dan menjadi tanggungjawab pihak Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan keperluan kepada kanak-kanak berkeperluan khas bagi mendapatkan pendidikan yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, sebagai kerajaan yang prihatin terhadap golongan ini Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan khas dalam membantu institusi yang menyediakan perkhidmatan dan pendidikan EIP kepada kanak-kanak berkeperluan khas untuk mendapatkan pendidikan, menambahbaik kemudahan infrastruktur dan terapi seperti physiotherapy, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy.

    Sebagai makluman ahli Yang Berhormat, pada tahun 2017 Kerajaan Negeri telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,226,200.00 kepada 13 buah institusi yang memberikan perkhidmatan pendidikan dan pelbagai jenis terapi kepada golongan kanak-kanak yang berkeperluan khas ini. Pemberian bantuan peruntukan dari Kerajaan Negeri ini telah banyak membantu institusi-institusi berkenaan dalam membiayai kos yuran pengajian, menampung pendidikan dan perkhidmatan terapi, membiayai kos penambahbaikan dan kos operasi, menaiktaraf kemudahan dan lain-lain.

    Bagi cadangan yang dibangkitkan oleh ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri perlu membuat penelitian semula memandangkan ianya akan melibatkan kos implikasi kewangan yang tinggi. Justeru itu, melalui pemberian bantuan kewangan kepada institusi berkenaan secara tidak langsung dapat membantu keluarga yang mempunyai anak-anak yang istimewa dan memerlukan pendidikan yang serta keperluan khas dalam membimbing anak-anak ini meneruskan pembelajaran di bidang akademik, kehidupan seharian dan kemahiran sosialisasi diri serta perkembangan emosi.

Lampiran

Tiada Lampiran.