Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

116) EDARAN WHATSAPP MENDAHULUI PEKELILING DAN TAKLIMAT KEPADA PEGAWAI-PEGAWAI PUSAT KHIDMAT DUN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah SOP Kerajaan Negeri selepas melancarkan sesuatu skim IPR yang baru, edaran Whatsapp lebih mendahului berbanding dengan pekeliling rasmi dan taklimat kepada pegawai-pegawai PKM?

    Untuk makluman Yang Berhormat Meru, selepas pelancaran sesuatu Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang telah diluluskan di dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, agensi yang terlibat akan melaksanakan hebahan dan promosi IPR tersebut kepada rakyat Negeri Selangor. Di antara kaedah hebahan dan promosi secara rasmi yang menjadi kebiasaan agensi adalah melalui portal rasmi (website) dan laman media sosial rasmi (Facebook dan Twitter) Kerajaan Negeri Selangor, agensi terlibat dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Kaedah secara maya ini dilaksanakan dalam memastikan penyampaian hebahan dapat diterima dan diketahui oleh rakyat Negeri Selangor dengan lebih cepat. Selain itu, pemasangan kain rentang (banner), gegantung (bunting) dan poster juga dipaparkan di kawasan-kawasan tumpuan awam untuk memperluas promosi IPR.

    Kaedah taklimat dilaksanakan oleh agensi terlibat kepada agensi-agensi yang berkaitan untuk memberi pemahaman dan penjelasan yang lebih terperinci, terutamanya berkenaan proses dan prosedur IPR. Terdapat juga agensi yang melaksanakan jerayawara (roadshow) untuk menyampaikan maklumat IPR secara terperinci dan lebih mesra kepada rakyat Negeri Selangor. Namun, kedua-dua kaedah ini akan mengambil masa memandangkan keperluan untuk pengurusan dan perancangan yang lebih teliti berbanding kaedah secara maya. Walau apa kaedah yang dilaksanakan, tujuan agar IPR tersebut dapat diketahui oleh rakyat Negeri Selangor hendaklah dicapai.

Lampiran

Tiada Lampiran.