Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

149) EKO PELANCONGAN

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang telah dilakukan dalam usaha menaikkan kawasan Hulu Selangor sebagai kawasan Eko Pelancongan tahun ini?

    Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menjalankan beberapa program bagi menaikkan kawasan Hulu Selangor sebagai Kawasan Eko Pelancongan. Antara usaha yang telah dijalankan adalah seperti berikut:-Lawatan Teknikal Produk Pelancongan

    Sesi lawatan ini dijalankan sepanjang tahun mengikut jadual dan melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang terlibat mengikut kawasan produk eko pelancongan yang berpotensi dibangunkan dan dipromosikan.

    Pelaksanaan Program P3S (Program Pemurnian Pelancongan Selangor)

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) telah berjaya menghasilkan Garis Panduan Perancangan Pembangunan Premis Pelancongan Daerah Hulu Selangor di bawah Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S).

    MDHS dengan kerjasama jabatan-jabatan teknikal dan pengusaha-pengusaha Inap Dusun Hulu Selangor berjaya menghasilkan satu garis panduan yang bertujuan untuk memurnikan produk-produk dan operasi pelancongan di Negeri Selangor ke arah meningkatkan tahap perkhidmatan industri pelancongan di negeri ini. Secara tidak langsung, MDHS dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek perintis melibatkan premis penginapan pelancongan dan sukan lasak.

    Langkah ini diambil apabila pihak Majlis mendapati terdapat 56 premis Inap Dusun yang dijalankan secara aktif memberi perkhidmatan penginapan di dalam Daerah Hulu Selangor tetapi hanya 4 premis mempunyai kelulusan daripada pihak Majlis. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia berkaitan dengan jaminan keselamatan kepada pengunjung. Selain itu, ia juga amat merugikan kepada pengusaha kerana produk mereka tidak dapat dipromosikan kerana ketiadaan kelulusan dan lesen daripada pihak yang berwajib.

    Penghasilan garis panduan ini masih di peringkat awal dan akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa. Garis panduan yang ditetapkan tidak berlawanan dengan keperluan undang-undang sedia ada dan ianya adalah keperluan minimum yang perlu dipatuhi bagi membolehkan premis-premis sedia ada diputihkan tanpa mengabaikan keselamatan pengunjung dan orang awam.

    Melalui Program P3S juga, Kerajaan Negeri telah melantik Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sebagai agensi utama bagi Projek Perintis P3S Sukan Lasak Pelancongan. Pemilihan MDHS sebagai agensi utama bagi projek perintis ini adalah berdasarkan fokus pelancongan daerah Hulu Selangor sebagai hub sukan lasak pelancongan yang meliputi aktiviti-aktiviti seperti Paragliding, White Water Rafting, Hiking dan Trekking, aktiviti tali tinggi seperti ropeswing dan flying fox dan banyak lagi.

    Pemurnian aktiviti sukan lasak pelancongan ini dilihat dapat membantu Kerajaan Negeri dan daerah Hulu Selangor khususnya dalam usaha menaikkan tahap industri pelancongan.

    1. ii) Program Hos Komuniti Pemandu Pelancong Negeri Selangor

    Program latihan untuk Hos Komuniti Selangor ini merupakan program pemangkin menggunakan pendekatan ‘Community Base Tourism Delivery Management”.  Program ini diadakan adalah untuk untuk melantik dan melatih pemandu pelancong setempat di seluruh Negeri Selangor secara profesional. Program ini telah dijalankan untuk melatih pemandu pelancong daripada Hulu Selangor bagi sesi latihan 2019 yang akan membantu meningkatkan produk Eko Pelancongan di Hulu Selangor.

    Program FAM (Familiarization) Tour

    Sesi lawatan FAM Tour ini dijalankan sepanjang tahun bersama pihak Agensi Pelancongan dan Media tempatan dan antarabangsa untuk membantu membangunkan pakej pelancongan seterusnya membantu mempromosikan produk pelancongan Eko di Hulu Selangor ke pentas global.

Lampiran

Tiada Lampiran.