Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

183) PERANAN GLC DALAM GAGASAN SMART SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri dalam usaha untuk membangunkan Selangor sebagai Negeri Pintar?

    1. SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU) adalah anak syarikat milik penuh MBI telah diberikan mandat oleh Kerajaan Negeri untuk menerajui pembangunan negeri pintar, ia juga merupakan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar Terulung 2025 di Asia Tenggara dengan memanfaatkan pengunaan teknologi dan inovasi. Negeri Pintar yang disasarkan merangkumi 12 domain yang telah dirangka sebagai asas untuk pembangunan Negeri Pintar tersebut. SSDU telah dan akan membangunkan sebanyak 60 inisiatif yang merangkumi pengurusan sisa sampah, pengangkutan dan mobiliti, sokongan sosial dan digital infrastruktur dan sebagainya. Terbaharu adalah Smart Bus Stop, yang merupakan hentian bas pintar yang mesra pengguna, infrastruktur terkini serta penggunaan aplikasi digital seperti isyarat penumpang menunggu, kamera litar tertutup, butang kecemasan, pengesan kualiti udara serta hab pengecas USB dan banyak lagi.

     

    Selain itu, terdapat juga anak syarikat MBI lain yang telah bertindak secara proaktif dengan menggunapakai teknologi terkini di dalam usaha melipatgandakan produktiviti bekerja agar lebih efisyen serta efektif. Antaranya adalah:

     

             KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) adalah anak syarikat milik penuh MBI yang bertujuan mengutip sampah domestik di seluruh Selangor. Kelebihan KDEBWM adalah sistem pengutipan sampah domestik dilengkapi dengan teknologi sistem pemantauan kenderaan atau Vehicle Management System (VMS) bagi menjejaki pergerakan jentera sampah ketika kontraktor menjalankan kutipan sampah di setiap PBT. Segala pemantauan jentera dilakukan secara berpusat di Centralised Command Center (CCC) begitu juga dengan penyelarasan aduan pengguna melalui aplikasi i-Clean di ibu pejabat KDEBWM Shah Alam.

     

             Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bertujuan melaksanakan pemantauan program Pembangunan dan Pemuliharaan Sungai melalui Selangor Maritim Gateway (SMG). LLSB telah mengunapakai sistem sensor dan pemasangan logboom untuk mengumpul sampah sampah apungan daripada terus menuju ke mulut sungai. Semua usaha ini bertujuan untuk memulihara dan meningkatkan kualiti air sungai di Negeri Selangor ke peringkat II bagi merancakkan lagi usaha eko-pelancongan.

     

             SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) bertujuan memberikan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi kepada kawasan luar bandar. SMARTSEL telah melancarkan Node1 di Kuala Selangor di INPENS International College (INPENS) sebagai usaha memberikan perkhidmatan Wifi Smart Selangor percuma dengan kelajuan internet yang lebih tinggi untuk capaian kawasan kawasan strategik akan datang seperti pejabat kerajaan, perumahan serta kawasan pelancongan seperti di Sky Mirror, Kota Melawati dan sebagainya.

     

    Anak anak syarikat MBI yang lain akan terus bersama sama membantu kerajaan Negeri secara langsung dalam usaha membangunkan Selangor sebagai Negeri Pintar 2025 nanti.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.