Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

164) EKONOMI PEKERJA LADANG

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk program kerajaan yang dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi pekerja ladang?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan bernombor 82 a) daripada YB Kuang bertajuk “Kebajikan dan Hal Ehwal Bekas Pekerja Ladang”.

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang amat komited dan berusaha menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja ladang di Negeri Selangor ini. Pelbagai program telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan usahasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi memenuhi kehendak pasaran semasa yang secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan, pengetahuan dan motivasi dalam diri mereka. Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan pelbagai program – program khusus untuk membantu para pekerja ladang dan bekas pekerja ladang termasuklah anak – anak mereka untuk sama – sama memanfaatkan faedah dan bantuan pendidikan serta kewangan bagi meringankan bebanan mereka dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar kini.

    Program Pendidikan Anak – Anak Pekerja Ladang ditubuhkan khusus untuk memberi bantuan kewangan dalam aspek kebajikan dan pendidikan. Program ini terbuka kepada semua anak – anak pekerja ladang di negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan ia memberi impak yang besar kepada ibu bapa yang merupakan pekerja ladang.

    Antara program – program yang telah dilaksanakan sepanjang tahun bagi tujuan tersebut adalah seperti berikut:

     

    • Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bus Sekolah Pemberian wang berjumlah RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang bagi setiap tahun berdasarkan permohonan yang diterima. Secara tidak             langsung    dapat mengurangkan perbelanjaan seisi keluarga dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf ekonomi

     

    • Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5000.00 setiap pelajar bagi satu jurusan. Ia bertujuan mengurangkan bebanan yuran pengajian anak – anak kepada ibu bapa dan meningkatkan taraf pendidikan dan ekonomi mereka.

     

    • Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian anugerah adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak – anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

     

    • Program – program Motivasi UPSR untuk anak pekerja ladang

    Program ini dianjurkan adalah sebagai satu langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak di Negeri Selangor khususnya anak pekerja ladang mendapat pendidikan yang sempurna. Program berbentuk seminar ini dilaksanakan khusus untuk membantu anak pekerja ladang yang akan mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan dan teknik menjawab peperiksaan.

     

    Program – program Motivasi UPSR, Seminar Pendidikan dan Kem – kem Motivasi yang dianjurkan bersama Badan – Badan Bukan Kerajaan (NGO) dapat meningkatkan lagi mutu pendidikan anak pekerja ladang dan pendedahan yang dapat membantu pelajar lebih proaktif dan berdaya saing.

     

    Di bawah Jawatankuasa Pekerja Ladang, Kerajaan Negeri memandang serius akan pendidikan anak-anak pekerja ladang terutamanya dalam bidang pelajaran bagi membantu mereka untuk lebih maju dan berdaya saing dengan

     

    pelajar – pelajar lain. Program sebegini dapat meningkatkan taraf pendidikan anak – anak pekerja ladang dan secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

     

     

    Dalam pada itu, program – program kebajikan yang telah dilaksanakan adalah lawatan YB EXCO ke ladang – ladang dalam memastikan segala permasalahan dan isu – isu yang dibangkitkan dapat diketengahkan dan diselesaikan secara baik. Antara lawatan dan permasalah yang dapat diselesaikan adalah seperti di Ladang Bukit Raja, Ladang Inche Canon, Ladang Tumbok, Ladang Dusun Durian, Ladang Semenyih, Ladang Elmina East, Ladang Subang, Taman Permata Dengkil dan Ladang Bangi. Sempena lawatan yang dilaksanakan, turut disampaikan adalah hamper berbentuk keperluan harian bagi meringankan beban pekerja ladang tersebut.

     

    Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah menganjurkan beberapa bentuk program khusus kepada Pekerja Ladang di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut :-

     

    • Perayaan Pesta Ponggal Peringkat Negeri Selangor

     

    • Perayaan Thaipusam Peringkat Negeri Selangor

     

    • Program Bersama Pemimpin-pemimpin Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dan Bekas Pekerja Ladang

     

    • Program Lawatan Turun Padang ke ladang – ladang

     

    • Program Sambutan Deepavali Peringkat Negeri Selangor

     

     

    Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang telah banyak membantu pekerja ladang dalam meringankan beban dalam arus pemodenan yang semakin berkembang pesat. Pembangunan ekonomi di kalangan pekerja ladang merupakan teras kepada kehidupan yang lebih selesa dan terjamin di masa hadapan. Justeru itu, program – program yang telah dilaksanakan memberi tumpuan kepada pekerja ladang di Negeri Selangor dalam meningkatkan pendapatan sampingan mereka menerusi penganjuran program – program berbentuk kursus kemahiran jangka pendek seperti membuat kek dan coklat, kelas jahitan, kelas solekan, kelas memasak, membaiki peralatan, membaiki telefon pintar, membuat kraftangan dan ceramah serta taklimat yang membantu meningkatkan keyakinan dan semangat di kalangan pekerja  ladang untuk terus maju dan berdaya saing. Program – program kemahiran seperti ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu para pekerja ladang mendalami asas – asas kemahiran ilmu perniagaan yang boleh menjana pendapatan sampingan.

Lampiran

Tiada Lampiran.