Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

87) ELAUN DAN BANTUAN JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan semua bentuk dan jenis elaun dan bantuan yang dibekalkan oleh JKM.

    Skim-skim bantuan kewangan JKM yang disediakan kepada golongan yang memerlukan di bawah Bantuan Kewangan JKM adalah seperti berikut:

    Skim Bantuan Kewangan Persekutuan

    1. Bantuan Kanak-kanak (BKK), dengan kadar RM100 hingga maksimum RM450 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin atau ibu/ bapa tunggal yang menjaga anak-anak mereka.

    2. Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB), dengan kadar RM250 sebulan dipertimbangkan kepada Orang Kurang Upaya yang tidak berupaya bekerja kerana keadaan kecacatan mereka yang teruk dan tidak berupaya bekerja.

    3. Elaun Pekerja Cacat (EPC), dengan kadar RM400 sebulan dipertimbangkan kepada Orang Kurang Upaya yang sedang bekerja yang pendapatannya kurang daripada RM1,200 sebulan, sebagai insentif supaya mereka terus bekerja.

    4. Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dengan kadar RM350 seorang sebulan dipertimbangkan kepada penjaga Orang Kurang Upaya Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan keluarga penjaga serta mempastikan penjagaan yang berkualiti.

    5. Bantuan Orang Tua (BOT), dengan kadar RM350 sebulan dipertimbangkan kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan harian.

    6. Bantuan Anak Pelihara (BAP), dengan kadar RM250 sebulan hingga maksimum RM500 sebulan sekeluarga bagi meringankan tanggungan keluarga pelihara yang sanggup menjaga anak-anak pelihara seperti anak sendiri.

    7. Bantuan Geran Pelancaran (BGP), dengan kadar RM2,700 sekaligus dipertimbangkan kumpulan sasar JKM bagi memulakan projek atau pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan ke arah berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan bulanan selama-lamanya.

    8. Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan (BAT), dengan kadar sebenar alat tiruan/ sokongan tersebut bagi membantu kumpulan sasar JKM yang tidak berkemampuan untuk membeli alat tiruan atau alat sokongan seperti kaki palsu, kerusi roda, alat pendengaran, dan lain-lain peralatan yang bersesuaian dan diperlukan.

    9. Tabung Bantuan Segera (TBS) dengan kadar maksimum RM300 sekaligus bagi kumpulan sasar yang layak dan terdesak

    10. Tabung Serangan Binatang Buas (TSBB) dengan kadar maksimum RM20,000 bertujuan memberi bantuan kewangan kepada mangsa yang mengalami kecederaan atau hilang upaya akibat serangan binatang buas dan kepada waris mangsa yang terdekat sekiranya mangsa meninggal dunia akibat serangan binatang buas.

    Skim Bantuan Kewangan Negeri

    1. Bantuan Am Negeri, dengan tiga kadar iaitu RM250, RM300 atau RM350 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan.

    2. Bantuan Latihan Perantis, dengan kadar RM250 sebulan dipertimbangkan kepada semua kumpulan sasar JKM yang bersedia untuk mengikuti latihan kemahiran atau penempatan kerja bagi menambahkan kemahiran dalam sesuatu bidang.

    3. Bantuan Pemulihan Bencana Negeri dengan kadar maksimum RM5,000 kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan kes-kes bencana alam seperti ribut dan kebakaran

Lampiran

Tiada Lampiran.