Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

147) FAKIR MISKIN

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Bakhtiar Bin Mohd Nor

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah statistik kadar kemiskinan di Selangor pada 2018 dibandingkan dengan kadar kemiskinan pada 2015? Apakah ada kemajuan yang lebih baik dari sebelumnya?

    Usaha mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri. Menyedari hakikat ini, program-program dan inisiatif-inisiatif sentiasa dipelbagaikan dan diperkukuh oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

    Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas terkini iaitu Tahun 2016 yang disediakan setiap dua (2) tahun oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan. Penurunan insiden kemiskinan di Negeri Selangor adalah sebanyak 0.2%, iaitu daripada 0.2% pada tahun 2014 kepada 0.0% pada tahun 2016.

     Pengurangan insiden kemiskinan di Negeri Selangor yang dicatatkan hingga ke paras sifar pada tahun 2016 ini telah membuktikan bahawa semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri terutamanya pelaksanaan Program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah berjaya memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan yang amat positif dalam memberi kesan langsung untuk menurunkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor serta seterusnya memberi impak berterusan terhadap kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.