Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

28) FENOMENA EKUINOKS

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah persediaan kerajaan negeri bagi menghadapi fenomena Ekuinoks di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan Mesyuarat menghadapi Musim Kering / Kemarau pada 23 Februari 2015 yang telah dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Semua Jabatan dan Agensi Kerajaan yang berkaitan telah hadir. Taklimat telah diberikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Negeri Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor dan perbincangan adalah berkaitan dengan pengurusan bencana kebakaran ; tanah gambut, hutan simpan dan tapak pelupusan sampah.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah mendapatkan taklimat daripada agensi-agensi yang berkaitan iaitu Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor pada 5 Mac 2015.

    Kerajaan Negeri Selangor mendapati bahawa keadaan pembekalan air di Negeri Selangor adalah dalam keadaan yang terkawal dan menjangkakan dapat terus membekalkan bekalan air kepada pengguna.

    Keyakinan Kerajaan Negeri Selangor ini adalah berdasarkan kepada keupayaan Kerajaan Negeri Selangor menyediakan sumber air mentah yang mencukupi. Ia adalah berdasarkan kedudukan paras empangan di seluruh Negeri Selangor adalah di atas daripada paras kritikal.

    Kerajaan Negeri Selangor telah dan akan terus melaksanakan tindakan-tindakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air serta kesediaan sumber air di empangan seperti berikut:

    • Meneruskan operasi pembenihan awan (cloud seeding) yang          membolehkan hujan turun di kawasan tadahan dan lembangan sungai;
    • Menerus dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam   takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air tersebut;
    • Mengawal pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan          dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia ada;
    • Mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar untuk memantau dan mengawal bagi    mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air; dan
    • Penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih termasuk semasa waktu cuti.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah memindahkan air dari terowong Langat 2 ke Sungai Langat yang bertujuan untuk memberdaya ketahanan Sungai Langat untuk Loji Rawatan Air Sungai Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11

    Kerajaan Negeri Selangor juga sedang melaksanakan tindakan-tindakan untuk kelangsungan bekalan air secara jangka panjang seperti berikut :

    • Pembangunan sistem HORAS

    Projek HORAS adalah usaha untuk menakung lebihan air larian sungai (stormwater) ke dalam suatu kolam takungan yang dikenali sebagai HORAS untuk digunakan sebagai sumber air tambahan bagi digunakan oleh loji rawatan air. Pembangunan HORAS ini dibangunkan secara berfasa iaitu HORAS 600 bagi fasa pertama yang akan mula siap pada September 2015 dan HORAS 3000 yang masih dalam peringkat kajian perbandingan.

    • Pengurangan kadar air tidak berhasil atau Non Revenue Water (NRW)

    Pada ketika ini kadar NRW adalah pada 35%. Kerajaan Negeri Selangor mahukan supaya kadar NRW ini dapat diturunkan pada tahap 25% dalam tempoh lima (5) tahun iaitu sehingga tahun 2020 selaras dengan perancangan penurunan NRW Kebangsaan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    • Penyaluran air mentah Sungai Bernam

    Kajian terperinci sedang giat dilaksanakan untuk memastikan sumber air tersebut dapat membantu memperkasakan aliran air di Sungai Selangor.

    • Pembangunan off-river storage (ORS) di Sungai Semenyih / Sungai          Langat

    Membangunkan sumber air tambahan sebanyak 100 hingga 200 JLH di Sungai Semenyih dan Sungai Langat melalui sistem ORS.

    Kerajaan Negeri Selangor mendapati bahawa penggunaan air per kapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari.

    Kerajaan Negeri Selangor ingin menasihatkan kepada pengguna supaya turut sama mengurangkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah supaya tanggungjawab menjaga kelangsungan bekalan air turut dikongsi oleh semua pengguna.

    Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan usaha-usaha untuk mendidik pengguna menerusi program konservasi bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan terutamanya berkaitan sumber air seperti berikut:

    1. Sambutan Hari Air Sedunia peringkat Negeri Selangor;
    2. Dialog bersama industri dan pengilang;
    3. Program bersama pihak sekolah, universiti dan komuniti;
    4. Pemuliharaan dan tanaman semula pokok bakau;
    5. Pantai angkat dan sungai angkat bersama komuniti;
    6. Pemeliharaan sumber air melalui program kitar semula minyak masak terpakai; dan Edaran risalah berkaitan sumber air.

    Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan seperti di atas, Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa bekalan air di Negeri Selangor dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS telah dan sedang melaksanakan tindakan-tindakan bagi memastikan kesediaan sumber air Negeri ketika menghadapi musim kering berkaitan fenomena Ekuinoks seperti berikut :

    • Operasi pembenihan awan (cloud seeding),
    • Operasi pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya,
    • Pelepasan air empangan di Sg. Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara harian,
    • Pemindahan air dari terowong Langat 2 ke Sg. Langat dilakukan dengan tujuan untuk memberdaya ketahanan Sg. Langat bagi keperluan Loji Pembersihan Air (LPA) Sg. Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11,
    • Mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk memantau dan mengawal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air, dan
    • Penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sg. Selangor, Sg. Langat dan Sg. Semenyih termasuk semasa waktu cuti.

    Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS juga sedang melaksanakan tindakan-tindakan untuk kelangsungan sumber air secara jangka panjang seperti berikut:

    • Pembangunan Kolam Takungan Hiliran/HORAS 3000
    • Penyaluran air mentah Sg. Bernam
    • Pembangunan off-river storage (ORS) di Sg. Semenyih / Sg. Langat
    • Membangunkan sumber air bumi

    *MAKLUMAT TAMBAHAN

    • Operasi pembenihan awan (cloud seeding)

    Telah mula dijalankan pada 21 Februari 2015 yang lalu bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan syarikat pembekal perkhidmatan yang dilantik di kawasan lembangan sungai termasuk kawasan tadahan Empangan Sg. Selangor sebanyak 2 kali setiap hari bergantung kepada kesesuaian atmosfera,

    • Operasi pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya

    Telah bermula pada 2 Februari 2015 yang lalu dengan keupayaan pengeluaran  800 juta liter sehari (JLH). Air kolam yang dipam ke Sg. Selangor ini mematuhi piawaian air mentah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dirawat oleh loji pembersihan air (LPA). Proses pemantauan kualiti air dijalankan melalui 3 peringkat, iaitu; i) pemantauan di kolam alternatif oleh LUAS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), ii) pemantauan air mentah di sungai dan muka sauk oleh LUAS, operator loji dan JKNS, dan iii) pemantauan air terawat selepas proses rawatan di LPA oleh operator loji dan JKNS. Pensampelan kualiti air kolam-kolam ini dijalankan oleh JKNS dan dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM),

    • Pelepasan air empangan di Sg. Selangor dikawal dengan ketat melalui kelulusan daripada LUAS secara harian.

    Beberapa semakan pelepasan juga dilakukan sehingga 3 kali sehari untuk mengoptimakan aliran air sungai sedia ada dan sumber air daripada kolam alternatif tersebut,

    • Pembangunan Kolam Takungan Hiliran/HORAS 3000

    Pembangunan kolam ini adalah usaha untuk menakung lebihan air larian sungai (stormwater) ke dalam kolam takungan di hilir sungai untuk digunakan sebagai sumber air tambahan dan juga mengurangkan impak banjir di kawasan muka sauk LPA. Pembangunan HORAS ini dibangunkan secara berfasa iaitu HORAS 600 bagi fasa pertama yang akan mula siap pada September 2015 dan HORAS 3000 yang di dalam peringkat kajian perbandingan.

    • Penyaluran air mentah Sg. Bernam

    Kajian terperinci sedang  dilaksanakan untuk memastikan sumber air tersebut dapat membantu memperkasakan aliran air di Sg. Selangor. Perbincangan awalan bersama Kerajaan Negeri Perak telah diadakan dan ia juga merujuk kepada Kajian Semula Sumber Air Negera 2000 – 2050.

    • Pembangunan off-river storage (ORS) di Sg. Semenyih / Sg. Langat

    Membangunkan sumber air tambahan sebanyak 100 hingga 200 JLH di Sg. Semenyih dan Sg. Langat melalui sistem ORS.

    • Membangunkan sumber air bumi

    Keupayaan abstraksi air bumi yang selamat untuk Negeri Selangor adalah 2373 MLD berdasar Kajian Kebolehdapatan Sumber Air Bumi Negeri Selangor yang dijalankan oleh Jurutera Perunding yang dilantik oleh LUAS. Pembangunan sumber air bumi adalah sebagai sumber air yang terakhir setelah mengambilkira sumber dari sungai dan air permukaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.