Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

158) FOOD STAMP

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Ng Tien Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan mekanisme pemilihan pembekal barangan sumbangan kepada penerima Food Stamp

    Bagi Program ‘Smart Selangor Food Stamp’, saya akan menjawab bersekali dengan soalan mulut yang diajukan oleh Ahli Yang Berhormat Balakong (No. 158), Damansara Utama (No. 179), soalan bertulis dari Ahli Yang Berhormat Seri Serdang dan Kota Damansara.

    Buat masa kini, Kerajaan Negeri telah mensasarkan kepada 100 buah keluarga yang termiskin dari setiap DUN untuk menerima bantuan makanan asas. Sekiranya ahli-ahli Yang Berhormat bercadang untuk membuat penambahan bilangan penerima bantuan program ini, ahli-ahli Yang Berhormat boleh menggunakan peruntukan sendiri dan barangan tambahan tersebut akan disediakan oleh pihak Hijrah Selangor sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat MMKN Ke 20/2016. Walau bagaimanapun, sekiranya ada diantara DUN yang tidak dapat memenuhi kuota bilangan penerima yang telah ditetapkan, maka DUN berkenaan perlu memaklumkan kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor supaya kuota berkenaan dapat dimaksimakan dan disalurkan kepada kawasan DUN yang lebih memerlukan.

    Secara tidak langsung, Kerajaan Negeri dapat membantu keluarga miskin dari seluruh Negeri Selangor yang lebih memerlukan bantuan makanan asas serta membantu meringankan kos sara hidup yang kian meningkat. Pelaksanaan program ini juga sedikit sebanyak membantu rakyat Selangor dari kalangan keluarga yang miskin kerana program ini merupakan penjimatan dan jaminan kepada mereka dengan menerima bantuan makanan asas secara bulanan disamping menggunakan gaji yang diterima bagi bulan tersebut untuk memenuhi keperluan lain keluarga berkenaan.

     

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 20/2016 yang bersidang pada 15 Jun 2016 yang lalu, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan Program ‘Smart Selangor Food Stamp’. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Hijrah Selangor. Penerima bagi program ‘Smart Selangor Food Stamp’ ini adalah terdiri daripada 100 buah keluarga yang termiskin dari setiap 56 DUN di Selangor dimana Kerajaan Negeri telah mendapatkan senarai nama-nama peserta program ini daripada pihak Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM). Ini menjadikan jumlah penerima bagi program pemberian makanan asas ini adalah seramai 5,600 keluarga dan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2,116,800.00.

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat juga, Program Bantuan Makanan Asas ‘Smart Selangor Food Stamp’ ini adalah berbeza dengan Program Jom Shopping kerana program ‘Smart Selangor Food Stamp’ merupakan bantuan makanan asas yang diberikan kepada keluarga yang termiskin pada setiap bulan. Makanan asas ini adalah berupa keperluan asas yang digunakan dalam kehidupan harian penduduk di Malaysia. Manakala program Jom Shopping pula merupakan bantuan yang diberikan sempena perayaan kepada keluarga yang telah dikenalpasti. Melalui program ini, penerima diberikan kebebasan untuk memilih barang-barang yang diperlukan sebagai persediaan menyambut perayaan masing-masing.

     

     Kriteria Penerima Bantuan Makanan Asas ‘Smart Selangor Food Stamp’

     

    Kerajaan Negeri telah menetapkan empat (4) kriteria penerima bantuan program ini adalah seperti berikut:-

    1. Lahir di Selangor atau telah bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun (perlu pengesahan ADUN / Penghulu / Pengerusi JKKK / Pengerusi Taman);
    2. Terbuka kepada semua kaum;
    3. Berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500.00 sebulan; dan
    4. Pengundi di DUN

     

     

     Pengendali Program ‘Smart Selangor Food Stamp’

     

    Tiada pembekal yang dilantik oleh Kerajaan Negeri memandangkan program bantuan makanan asas ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Hijrah Selangor. Sebagai pengendali program, pihak Hijrah adalah bertanggungjawab dalam menguruskan pembekalan dan penghantaran makan asas yang telah diputuskan didalam MMKN.

     

    Pihak Hijrah juga akan memastikan barangan yang dibekalkan adalah pada harga jualan terkawal, mutu dan kualiti yang sama dengan pasaran semasa serta membuat penghantaran ke PKM masing-masing sekurang-kurangnya sehari sebelum ‘Hari Food Stamp’ yang telah ditetapkan iaitu pada hari Jumaat minggu ketiga pada setiap bulan. Penetapan hari berkenaan adalah untuk memudahkan pengagihan bantuan barang makanan asas dilaksanakan kepada penerima bantuan disamping memudahkan ahli keluarga mengambil barangan makanan asas di lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak PKM.

    Nilai Bantuan Dan Jenis Makanan Asas Program ‘Smart Selangor Food Stamp’

     

    Kerajaan Negeri juga telah menetapkan sebanyak RM50.00 bagi setiap kos barangan makanan asas yang dibekalkan kepada setiap keluarga penerima bantuan program ini. Dengan nilai tersebut, setiap penerima bantuan akan menerima enam

    (6) jenis barangan makanan asas pada setiap bulan bermula Jun hingga Disember 2016 dan akan diteruskan ke tahun-tahun hadapan.

    Jenis dan perbandingan kos seunit bagi barangan makanan asas adalah seperti berikut :-

     

    Bil Jenis barangan Kuantiti Harga Hijrah

    Selangor

    Harga Pembekal

    Lain

    1. Beras 5% 10 kilogram 1 unit RM26.50 RM28.90
    2. Minyak Masak 2 kg 1 unit RM8.00 RM8.70
    3. Gula Pasir 1 kilogram 1 unit RM2.40 RM2.40
    4. Tepung Gandum 1 kg 2 unit RM5.68 RM5.68
    5. Bihun 450 gram 1 unit RM3.95 RM4.20
    6. Susu Pekat Manis 500g 2 unit RM3.50 RM4.10
      JUMLAH   RM50.03 RM53.98

     

    Nilai barangan yang dibekalkan kepada penerima bantuan tidak ditolak dengan kos pengurusan yang dikendalikan oleh pihak Hijrah Selangor. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri sedar bahawa rakyat di Selangor berhak menerima nilai bantuan yang telah ditetapkan tanpa sebarang kos tersembunyi bagi mengelakkan perkara yang diluar jangkaan berlaku pada masa akan datang.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.