Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

222) GAGASAN SMART SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila kemukakan secara terperinci konsep dan matlamat gagasan tersebut?

    Rasional utama dan objektif konsep Smart Selangor adalah untuk membawa Selangor ke arah negeri berpaksikan rakyat, dengan izin, citizen-centric state yang didorong oleh falsafah tadbir urus berasaskan penyelesaian

    Negeri berpaksikan rakyat atau Citizen-centric state bermaksud fokus Kerajaan Negeri adalah kepada rakyat dan masalah yang dihadapi oleh rakyat dalam kehidupan seharian mereka. Ini termasuklah soal interaksi mereka dengan satu sama lain, dengan entiti perniagaan dan korporat, dengan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan Kerajaan Negeri dan juga pemilik berkepentingan, dengan izin stakeholders yang lain.

     

    Dengan falsafah “tadbir urus berasaskan penyelesaian pintar” ini bermakna Kerajaan Negeri bukan sahaja menjawab dan menyelesaikan keperluan dan permasalahan rakyat tetapi juga memberi tindak balas dengan cara yang cepat, berkesan dan pro-aktif.

    Ini menuntut penglibatan aktif dan penyertaan rakyat untuk memupuk semangat perkongsian antara rakyat dengan kerajaan tentang keutamaan pada semua isu-isu utama di bandar dan desa, dan menangani cabaran demografi dan sosial khususnya sosio ekonomi.

     

    Bagi melaksanakan gagasan ini secara objektif, kita perlu merangka konsep Smart Selangor dengan pemikiran dan pelan strategik jangka panjang, dan bukan

    semata-mata reaksi spontan yang berkesan untuk jangka masa pendek. Hanya pendekatan yang holistik akan membawa anjakan paradigma.

    Hari ini, asas-asas sebuah “Smart State” di seluruh dunia berkongsi beberapa ciri- ciri yang direka untuk menghadapi mega trend yang menjadi penentu dan mencorakkan dunia di masa hadapan. Salah satu kesamaan tersebut adalah kewujudan bandar pintar.

     

    Sebuah bandar pintar pada asasnya adalah sebuah bandar hijau yang livable, sesuai didiami, berdasarkan pendekatan citizen centric yang bersepadu untuk pembangunan bandar di mana penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (“ICT”) yang dirangka selaras dengan Internet of Things (“IOT”). Ini akan menentukan masa depan kehidupan peribadi, mobiliti dan perniagaan.

     

    Tumpuan akan diberi kepada pengurusan berkesan aset bandar raya yang mempunyai kesan langsung, berterusan dan mendalam kepada rakyat seperti sistem pengangkutan khususnya kawalan trafik dan pengurusan, tempat letak kereta, keselamatan, pembanterasan jenayah dan penguatkuasaan undang- undang, hospital, pengurusan sisa, tenaga, bekalan air, sekolah, perpustakaan,  dan lain-lain perkhidmatan yang berpaksikan rakyat.

     

    Fokus utama adalah untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan semua perkhidmatan tersebut. Antara penyelesaian segera akan menjadi aplikasi dan program Smart Selangor untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat dan pelaksanaan pemantauan aduan yang berkesan, keperluan dan kawasan-kawasan yang memerlukan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan.

     

    Pada masa yang sama, Smart Selangor akan membantu penggunaan sumber yang lebih berkesan, membantu meningkatkan ketepatan unjuran dalam perancangan dan belanjawan. Ini boleh digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk semua pihak berkuasa tempatan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.