Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

134) GAJI MINIMUM DAN PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah dasar gaji minimum telah dilaksanakan di Selangor?

    Di peringkat Persekutuan, Kerajaan telah melaksanakan Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja yang melibatkan semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik (pembantu rumah) berkuatkuasa 1 Julai 2016. Melalui PGM 2016, kadar gaji minimum yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Ringkasan kadar gaji minimum yang perlu dibayar kepada seseorang pekerja adalah seperti jadual berikut:-

     

     

    KAWASAN WILAYAH

    KADAR GAJI MINIMUM
     

     

    BULANAN

    HARIAN  

     

    SETIAP JAM

    BILANGAN HARI BEKERJA DALAM SEMINGGU
     

    Semenanjung Malaysia

     

    RM1,000

    6 RM38.46  

    RM4.81

    5 RM46.15
    4 RM57.69
    Sabah, Sarawak dan Labuan  

    RM920

    6 RM35.38  

    RM4.42

    5 RM42.46
    4 RM53.08

    Selain itu, bagi pekerja yang tidak dibayar gaji pokok tetapi dibayar gaji hanya berdasarkan upah mengikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang perlu dibayar kepada pekerja tersebut hendaklah tidak kurang daripada RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    Manakala untuk Penjawat Awam, penetapan gaji pokok serta elaun-elaun tetap yang layak diterima oleh seseorang Penjawat Awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada skim gaji dan pekeliling-pekeliling yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016 – Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan Di Bawah Sistem Saraan Malaysia, Kerajaan bersetuju menetapkan Gaji Permulaan Terendah pada kadar RM1,200 sebulan berkuatkuasa mulai 1 Julai 2016.

     

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor ke 18/2016 pada 1 Jun 2016 telah bersetuju melaksanakan Gaji Permulaan Terendah tersebut bagi semua Penjawat Awam di Negeri Selangor berkuatkuasa mulai 1 Julai 2016.

    Sehingga 20 Julai 2016, hanya seramai 103 orang* (37 tetap dan 66 kontrak) penjawat awam Negeri Selangor (termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri) yang menerima gaji pokok kurang daripada RM1,500.00 sebulan. Walau bagaimanapun, sekiranya jumlah pendapatan turut mengambilkira elaun- elaun yang berkelayakan, pendapatan bulanan minima yang akan diterima oleh Penjawat Awam ialah sebanyak RM1,900.00.

    *Sumber: Data Sistem HRMIS (sehingga 20 Julai 2016), dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

    Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2016 untuk sektor swasta yang berjumlah RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 untuk Sabah, Sarawak dan Labuan serta penguatkuasaan gaji permulaan terendah untuk sektor awam pada kadar RM1,200 sebulan secara tidak langsung dilihat dapat menangani ketidakcekapan dalam pasaran pekerja, mempertingkat kebajikan pekerja berpendapatan rendah, sekaligus turut memberi impak positif terhadap taraf ekonomi rakyat.

    Dalam pada itu, untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan di Negeri Selangor sehingga ke akar umbi, Kerajaan Negeri telah melaksanakan, memperkukuh dan mempelbagaikan program- program bantuan dalam membantu melonjakkan pendapatan rakyat bagi memenuhi keperluan asas mereka, mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan serta meningkatkan taraf ekonomi rakyat dari pelbagai aspek. Antara langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah seperti berikut:-

    1. Program Bantuan Perumahan

    Program Bantuan Perumahan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki adalah Rumah Selangorku. Manakala bantuan skim pembiayaan perumahan adalah melalui Skim DanaSel dan Skim Selangor Smart Home Buyers. Selain itu, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin pula disasarkan khusus kepada golongan miskin yang menetap di rumah yang serba daif di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada yang layak.

    1. Program Bantuan Pengupayaan Ekonomi

    Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi pula adalah seperti Program HIJRAH, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program Bantuan Nelayan/ Akuakultur, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan, Program Back to School untuk Rakyat Miskin serta pelbagai lagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    • Program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan

    Program-program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan seperti Skim Pemeriksaan Mammogram dan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor (merangkumi bantuan seperti Dialisis, Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain- lain Rawatan dan Kaki Palsu) pula dilihat sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan bebanan kos hidup rakyat melalui bantuan kesihatan ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

    1. Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan

    Terdapat pelbagai Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan yang bukan sahaja berupaya memperkukuhkan daya saing graduan, malahan dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya adalah seperti Boot Camp dan Program Graduate Employability Enhancement. Manakala program- program yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat melalui penajaan/ pembiayaan pendidikan pula adalah seperti Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/ IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang.

    Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira gender dan etnik di samping memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.