Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

320) GANGGUAN BEKALAN AIR

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Sze Han

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah punca utama yang menyebabkan masalah gangguan bekalan air sering berlaku di Negeri Selangor?

    Memastikan sumber air di Selangor sentiasa berterusan dan tidak terganggu untuk digunakan oleh pengguna adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan pelbagai usaha telah diambil bagi tujuan tersebut.  Gangguan bekalan air boleh disumbangkan oleh beberapa faktor seperti berikut:-

    • Gangguan yang disebabkan oleh ketidakcukupan air mentah;
    • Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh penyelenggaraan berjadual;
    • Gangguan akibat penutupan loji disebabkan oleh faktor luar jangka seperti pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik kerosakan peralatan loji, atau kerosakan paip induk yang disebabkan oleh pihak ketiga.

    Punca pencemaran disebabkan  ammonia di dalam sungai adalah  seperti

    berikut:-

    • baja untuk pembangunan-pembangunan tanah dan pertanian.
    • tapak pelupusan sampah leachate dan pembangunan tanah yang tidak terkawal.
    • kumbahan yang tidak dirawat daripada penternakan ayam itik, rumahrumah setinggan di tepi sumber air, tangki-tangki septik, kilang-kilang, tandas-tandas sementara di tapak-tapak pembinaan.
    • air kumbahan yang dilepaskan daripada kawasan-kawasan perumahan, komersil, institusi dan kemudahan-kemudahan berkaitan.
    • pelepasan air kumbahan dan bahan-bahan kimia bertoksik daripada pelbagai industri.
    • aliran air di permukaan disebabkan oleh hujan lebat
    • minyak dan air kumbahan daripada bilik-bilik air dan dapur
    • efluen loji olahan kumbahan perbandaran

    Kerajaan Negeri maklum bahawa masalah gangguan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan.  Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memastikan masalah gangguan ini dapat diatasi dan seterusnya dikurangkan.

    Dalam usaha untuk memastikan air mentah sentiasa cukup untuk dirawat oleh 34 Loji Rawatan Air di Negeri Selangor, selain dari memberikan persetujuan kepada pelaksanaan Projek Langat 2, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membangunkan projek yang dinamakan Hybrid of River Augmentation Storage/System (HORAS) di kawasan Kuala Selangor. Melalui pembangunan dua projek ini, Kerajaan Negeri yakin masalah ketidakcukupan air mentah dapat diatasi sepenuhnya.

    Selain dari penambahan sumber air mentah, Kerajaan Negeri juga telah menggariskan dasar bagi memastikan sumber air mentah dari sungai-sungai sedia ada tidak dicemari.  Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan semua agensi yang           berkaitan       sentiasa             berganding   bahu   memantau     supaya           semua penyumbang kepada pencemaran sumber air mentah dapat dihukum melalui kuat kuasa undang-undang dan peraturan  sedia ada.

    Masalah gangguan bekalan air juga berkait rapat dengan sistem paip utama dan paip komunikasi yang ada di negeri Selangor. Kebanyakan paip utama dan paip komunikasi di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dari jenis Galvanise Iron (G.I) dan Asbestos Cement (AC).  Paip-paip ini kebanyakannya telah pun mencapai usia 40 tahun dan akibat faktor usia tersebut, pengaratan dalaman paip berlaku menyebabkan saluran paip menjadi sempit dan kecil yang turut menyumbangkan kepada masalah paip bocor dan paip pecah hingga menyebabkan gangguan kepada pengguna.

    Selain dari masalah usia paip, kadar permintaan yang telah meningkat akibat dari pembangunan kawasan baru dan pertambahan populasi penduduk di sesetengah kawasan.  Disebabkan permintaan air yang berbeza mengikut kawasan terutamanya di kawasan yang padat penduduknya, yang mana ada kalanya kadar permintaan itu melebihi tahap pembekalan sedia ada dan secara tidak langsung telah mengakibatkan kekurangan bekalan air berlaku di kawasan tersebut.

    Gangguan bekalan air yang disebabkan oleh penutupan loji atau disebabkan oleh paip pecah adalah merupakan sebahagian dari masalah operasi yang dihadapi oleh operator rawatan air dan operator pengagihan air.  Di Negeri Selangor ini, terdapat empat operator rawatan air iaitu SPLASH, ABASS, Puncak Niaga dan KASB manakala operator agihan air adalah diletakkan di bawah kendalian SYABAS.

    Keadaan industri yang dikendalikan oleh operator swasta tanpa penglibatan Kerajaan Negeri menyulitkan Kerajaan Negeri untuk membuat kawalan dari segi operasi.  Oleh yang demikian, salah satu tujuan Kerajaan Negeri memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan operasi loji rawatan air dan pengagihan air kepada pengguna dapat dikawal secara langsung oleh Kerajaan Negeri.  Dengan mempunyai kawalan secara langsung ke atas operasi tersebut, Kerajaan Negeri boleh mempunyai kawalan secara langsung di dalam operasi dan seterusnya mengurangkan lagi keadaan gangguan bekalan air kepada pengguna. Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor ini  sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan sebagaimana yang telah dicapai di di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lampiran

Tiada Lampiran.