Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

9) Gangguan Bekalan Air Di Taman Melawati Zon C, E, G

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Setelah tahu punca kerapnya berlaku paip pecah di zon-zon tersebut dan berapakah kos yang terlibat, adakah Kerajaan bercadang untuk mengeluarkan geran khas kepada Air Selangor bagi menyelesaikan masalah yang selama ini membebankan penduduk?

    Pada masa ini, kejadian paip pecah di Taman Melawati Zon C, E dan G adalah disebabkan masih terdapat paip retikulasi jenis asbestos cement (AC) yang telah berusia dalam sistem agihan bekalan air. Statistik paip pecah di Taman Melawati Zon C, E dan G dari tahun 2018 sehingga 15 Oktober 2020 adalah seperti berikut:

    Berdasarkan statistik ini, kekerapan kejadian kes paip pecah di setiap zon tersebut berada pada tahap yang rendah dan terkawal. Pemilihan kawasan hotspot program penggantian paip pula berdasarkan analisa kekerapan paip pecah yang akan dinisbahkan dengan anggaran panjang paip yang terlibat untuk tempoh satu tahun bagi mendapatkan ratio bilangan kes paip pecah per kilometer per tahun (burst/km/year). Analisa ini dibuat secara berterusan dan senarai keutamaan program penggantian paip dikemaskini setiap enam bulan. Justeru itu, paip-paip di zon tersebut tidak dimasukkan dalam Program Penggantian Paip untuk tahun 2020 dan 2021 pada ketika ini.

    Pihak Air Selangor akan meneruskan pemantauan secara berterusan terhadap jajaran paip ini di Taman Melawati ini. Bagi mengatasi isu paip pecah di kawasan ini, Air Selangor telah mengambil beberapa tindakan seperti berikut:

    i. Membuat pembentukan District Metering Zone (DMZ) bertujuan untuk pemantauan dan pengurusan tekanan air di dalam paip secara berterusan bagi mengurangkan risiko kejadian paip pecah. Untuk kawasan Taman Melawati, lima (5) DMZ telah dibentuk bagi memantau dan mengawal tekanan air bagi mengurangkan kejadian paip pecah semasa, merangkumi Taman Melawati Zon C, E dan G yang di bawah kawalan dua (2) DMZ berikut:

    1. GB.030 Kg Klang Gate
    2. GB.123 Taman Melawati

     

    ii. Untuk kejadian paip pecah yang masih berlaku walaupun dengan adanya sistem pengurusan tekanan (kawasan di dalam DMZ), jajaran paip terlibat akan dikenalpasti dan akan disenaraikan di dalam program penggantian paip. Pelaksanaan program penggantian paip bergantung kepada peruntukan yang diluluskan.

    iii. Selain daripada itu, untuk kawasan di luar kawalan DMZ, pembentukan Pressure Management Zone (PMZ) akan dibuat untuk pengurusan tekanan pada skala yang lebih kecil. Pembentukan satu (1) PMZ telah dibuat di Taman Melawati sebagai tambahan kepada pengurusan tekanan (melalui DMZ) sediada dan setakat ini telah dapat meminimakan gangguan bekalan disebabkan oleh kejadian paip pecah.

Lampiran

Tiada Lampiran.