Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

56) GANGTERISME

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membendung masalah gengsterisme di kalangan kaum India dan membasmi kemiskinan di kalangan mereka?

    JAWAPAN:

    1. a) Bagi tempoh Januari hingga Jun 2019, sebanyak 42 kes yang dilaporkan pihak polis adalah melibatkan kumpulan kongsi gelap. Dari jumlah itu, sebanyak 32 kes dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap India manakala 5 kes melibatkan kongsi gelap Cina dan 5 kes lagi oleh kumpulan kongsi gelap Melayu.

    Daripada 42 kes yang di laporkan, sebanyak 40 kes telah diselesaikan dan peratus penyelesaian kes adalah.95.2%. Dalam menangani isu kongsi gelap ini, PDRM sentiasa komited dalam mengambil tindakan terhadap kes-kes membabitkan gengsterisme yang dilaporkan. Di antara undang-undang yang dilihat berkesan dalam menangani isu ini adalah:

    1. Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)

    Seramai 347 orang ahli kumpulan kongsi gelap telah diambil tindakan di bawah undang-undang ini sejak tahun 2015.

     

    1. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012

    Ekoran daripada kejadian-kejadian jenayah serius seperti kes bunuh, pemilikan/penggunaan senjata api, culik, mendatangkan cedera parah dan kes-kes samun berkumpulan oleh kumpulan kongsi gelap di sekitar Selangor sejak 2016, Polis Selangor telah melancarkan operasi di bawah kumpulan Jenayah Terancang (Prosedur SOSMA), operasi ini dinamakan sebagai ‘OPS REGIMEN’, ‘OPS KABALI’, ‘OPS SPIDER’, dan ‘OPS API RELOAD’. Seramai 141 orang ketua dan ahli kumpulan kongsi gelap telah ditangkap.

    Sesungguhnya, pihak Polis di Kontinjen Selangor sentiasa memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri yang selamat didiami dan bebas daripada kegiatan-kegiatan kongsi gelap yang boleh membawa kepada permasalahan sosial.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin menjaga dan memelihara keperluan seorang individu bagi membasmi kemiskinan dikalangan masyarakat. Untuk makluman Yang Berhormat, sejak tahun  2013 – 2018, Program Tajaan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) membantu golongan belia / pelajar india untuk mengikuti kursus kepelbagaian bidang untuk mencorakkan hidup mereka dengan masa depan yang lebih cerah dan terjamin . Mereka menggunakan platform tersebut untuk mengembangkan evolusi pemikiran dan meningkatkan modal Insan. Dalam usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan, mendapati bahawa  pelajar / belia India dapat menterjemahkan pemikiran yang inovatif dalam pekerjaan untuk lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Ianya juga salah satu laluan untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka menerusi strategi pengurusan bakat tanpa terikat sepenuhnya dengan masalah gengsterisme atau aktiviti-aktiviti lain yang tidak sihat dimana pada tahun – tahun sebelum 2017 pengambilan pelajar secara keseluruhanya telah menurun sehingga  15%, namun penjajaran dan pengenalan Program Iktisas terhadap peratusan pengambilan pelajar kaum India  adalah tidak jelas.

    Dalam pada itu Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pembangunan usahawan India Negeri Selangor bagi tujuan membantu masyarakat India yang berpotensi dalam bidang keusahawanan untuk mendapat bimbingan serta tunjuk ajar dalam bidang perniagaan pada tahun 2017, namun program ini tidak dikendalikan oleh mana – mana exco ketika itu dan sehingga kini keberkesanan program tersebut adalah tidak jelas.

Lampiran

Tiada Lampiran.