Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

24) GARIS KEMISKINAN SELANGOR

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kadar garis kemiskinan terkini negeri Selangor?

    Soalan ini dijawab bersama soalan (a) dan (b) bertajuk Garis Kemiskinan Selangor daripada YB. Dato’ Haji Amiruddin Bin Setro (Jeram).

    Paras Garis Kemiskinan (PGK) merupakan pendapatan atau keperluan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah (IR) bagi memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya. PGK digunakan untuk mengenalpasti bilangan isi rumah miskin dan mengukur insiden kemiskinan. PGK keseluruhan terdiri daripada PGK makanan dan PGK bukan makanan. Sesebuah isi rumah adalah dianggap miskin sekiranya pendapatan bulanan isi rumah tersebut adalah kurang daripada PGK, iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah tersebut memenuhi keperluan asas dari segi makanan dan bukan makanan yang membolehkan setiap ahlinya berfungsi di dalam masyarakat.

    Sebagai makluman, PGK peringkat Nasional bagi tahun 2007 bagi Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM720 seisi rumah. Manakala bagi Sarawak serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing adalah sebanyak RM830 dan RM960 seisi rumah. Bagi tahun 2012 pula, PGK di peringkat Nasional adalah selaras dengan Rancangan Ekonomi Kesepuluh (RMK-10), yang mana PGK makanan dan bukan makanan yang telah ditetapkan untuk isi rumah miskin berdasarkan kepada kiraan adalah RM830.00 seisi rumah. Manakala bagi Sarawak serta Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing adalah sebanyak RM920 dan RM1,090 seisi rumah.

    PGK yang digunapakai di Selangor pula adalah sebanyak RM1,500.00. Ini adalah berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 1/2009 pada 7 Januari 2009 telah bersetuju dan memutuskan supaya PGK Negeri Selangor dinaikkan ke RM1,500.00. Namun begitu, tiada satu asas pengiraan yang dibuat.

Lampiran

Tiada Lampiran.