Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

25) GARIS KEMISKINAN SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah kadar garis kemiskinan terkini Negeri Selangor?

    Kemiskinan merupakan isu/ perkara yang kompleks serta perlu dilihat dari pelbagai dimensi/ aspek. Namun begitu, di Malaysia, secara tradisinya, kemiskinan diukur dalam satu dimensi, iaitu menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merupakan pendapatan atau keperluan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah bagi memenuhi keperluan asas makanan dan bukan makanan bagi setiap ahlinya. Sesebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatannya kurang daripada PGKnya.

    Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan.

    Untuk itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor yang terkini adalah RM1,500 seisi rumah. Ini adalah berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016 bersetuju bahawa PGK Negeri Selangor dikekalkan pada paras RM1,500.00 seisi rumah. PGK Selangor ini juga dilihat lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa. Terdahulu, PGK RM1,500 seisi rumah ini mula digunapakai sejak tahun 2009 berdasarkan kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2009 pada 7 Januari 2009. Keputusan ini adalah berasaskan Laporan Audit Bantuan Dana Nelayan Negeri Selangor dan Cadangan Penambahbaikan Dana Nelayan, Petani dan Penternak.

Lampiran

Tiada Lampiran.