Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

5) GARIS PANDUAN KEMISKINAN (GPK) SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Garis Panduan Kemiskinan (GPK) Selangor pada paras RM1500 sebulan telah dianggap sebagai ketinggalan zaman. Adakah kerajaan bercadang untuk mengubah GPK dalam masa terdekat supaya bantuan kebajikan kerajaan Selangor dapat disalurkan dengan lebih tepat dan berkesan kepada golongan sasaran?

    Usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan, keadaan sosio ekonomi serta menganjak paradigma masyarakat untuk berhijrah keluar daripada kitaran kemiskinan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Selangor lebih realistik dan bersesuaian dengan senario ekonomi semasa berbanding dengan PGK Nasional iaitu RM930 seisi rumah. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 1/2009 pada 7 Januari 2009 telah bersetuju dan memutuskan supaya Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor dinaikkan ke paras yang realistik dan bertanggungjawab iaitu RM1,500.00 seisi rumah.

    Namun begitu, PGK Selangor iaitu RM1,500 dilihat masih ketinggalan dan kurang realistik memandangkan tahap perkembangan ekonomi Negeri Selangor yang jauh kehadapan berbanding negeri lain. Terbaru, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 5/2015 pada 4 Februari 2015 yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Hasil kajian tersebut telah dibentangkan oleh pihak UNISEL dan UTAR kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2016 bertarikh 8 Jun 2016 yang lalu.

    Secara ringkasnya, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti perangkaan umum berkaitan kemiskinan bagi penduduk berdasarkan daerah dan kaum di Negeri Selangor, menganalisis penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor melalui justifikasi pengiraan dan pembinaan indeks kemiskinan serta mewujudkan dan membangunkan Sistem Smart Prihatin Selangor (Sistem SPS) yang mengandungi data lengkap dan holistik isi rumah Selangor yang berpendapatan di bawah PGK yang akan ditetapkan.

    Cadangan PGK ini berupaya untuk melihat SIAPA yang berada di bawah PGK boleh diklasifikasikan sebagai miskin. Bagi menjawab MENGAPA miskin pula, satu (1) indeks yang dikenali sebagai Indeks Prihatin Selangor (Selangor Prihatin Index (SPI)) diperkenalkan. Diadaptasi daripada Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (Multidimensional Poverty Index– MPI) yang mana merupakan pengukuran antarabangsa terhadap masalah kemiskinan di 110 buah negara membangun, SPI akan menilai faktor-faktor yang menyebabkan kemiskinan dalam tiga (3) dimensi yang merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup.

    Kombinasi penggunaan PGK dan SPI ini adalah bersifat dinamik yang akan dapat membantu Kerajaan Negeri Selangor mengenalpasti SIAPA yang miskin dan MENGAPA berlakunya kemiskinan tersebut serta tahap keparahan kemiskinan isi rumah berkaitan. Impaknya, usaha pembasmian kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih efektif.

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih lagi meneliti, mempertimbangkan dan mengkaji semula hasil dapatan kajian ini secara mikro dari pelbagai aspek termasuk kewangan, ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan hasil kajian yang diperolehi adalah benar-benar menyeluruh, komprehensif, realistik dan bersesuaian untuk digunapakai di Negeri Selangor serta akhirnya dapat memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.