Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

164) GARIS PANDUAN MARRIS

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah menerima Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian MARRIS yang telah ditambah baik seperti diumumkan dalam kenyataan akhbar YAB. Perdana Menteri di Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 pada 27 Mei 2019? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (atau lebih dikenali dengan peruntukkan MARRIS) seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 109 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri untuk membantu Kerajaan Negeri menyenggara jalan-jalan negeri.

    Bagi mengurus pemberian ini satu garis panduan telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan supaya tatacara pengurusan pemberian ini adalah standard untuk digunapakai dan dipatuhi oleh semua Kerajaan Negeri. Hanya jalan-jalan negeri yang mencapai piawaian minimum Jabatan Kerja Raya (JKR) dan berdaftar dalam Malaysian Road Information System Online (Sistem MARRIS online) layak untuk disediakan pemberian penyenggaraan jalan negeri.

    Atas keprihatinan pihak Kerajaan terhadap keselamatan pengguna jalan raya, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 pada 27 Mei 2019, semasa membincangkan tentang Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri, mesyuarat telah memutuskan dan bersetuju supaya:

    1. Memperluaskan skop perbelanjaan dengan membenarkan perbelanjaan bagi kerja-kerja menaik taraf jalan/jambatan/parit/longkang serta membiayai penyenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum JKR dan tidak berdaftar di dalam Sistem MARRIS online dengan had belanja telah dinaikkan dari 10% kepada 15% daripada jumlah perbelanjaan sebenar penyenggaraan tahun sebelumnya atau RM15 juta (sebelum ini RM10 juta), yang mana terendah;
    2. Negeri-negeri yang mencapai paras perbelanjaan melebihi 85% akan menerima peruntukan sepenuhnya mengikut jumlah kelayakan. Sebaliknya bagi negeri-negeri yang tidak mencapai paras perbelanjaan 85%, jumlah yang akan disalurkan adalah mengikut perbelanjaan sebenar tahun sebelumnya dan penyaluran baki kelayakan hanya akan dibuat selepas prestasi perbelanjaan suku ketiga melepasi paras 85% tahun yang sama; dan

     

    • Memasukkan justifikasi perluasan perbelanjaan dibenarkan di dalam para 7 Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri sebagai para 7.5 yang menyatakan “Keutamaan diberikan bagi kerja-kerja naik taraf demi keselamatan pengguna jalan raya”.

Lampiran

Tiada Lampiran.