Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

112) GARIS PARAS BAHAGIA – GEMBIRA

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor ditakrifkan sebagai pendapatan yang mencukupi untuk memberi kegembiraan dan kebahagiaan kepada rakyat. Sejauh manakah Kerajaan menjadikan World Happiness Index sebagai memberi pencerahan tentang hala tuju dalam meningkatkan harta dan kekayaan material rakyat Selangor?

    Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baru yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan satu Kajian Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor yang telah dibentangkan oleh Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kepada Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada tahun Jun 2016.

    Antara hasil dapatan kajian tersebut adalah median pendapatan bulanan isi rumah adalah RM3,300.00. Penyelidik UNISEL dan UTAR telah memilih pengiraan 60% median pendapatan bulanan isi rumah sebagai penentu utama PGK Selangor. Hasil 60% median pendapatan isi rumah Selangor merupakan adaptasi kaedah pengiraan PGK dari negara maju dan ianya selari dengan perkembangan ekonomi Selangor. Oleh itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Selangor yang disyorkan melalui kajian ini adalah berjumlah RM1,980.00 dan individu yang berada di bawah PGK adalah diklasifikasikan sebagai miskin.

    Namun yang demikian, berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 40/2016 bertarikh 7 Disember 2016, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor masih dikekalkan pada angka RM1,500.00 seisi rumah dan digunapakai oleh semua Jabatan/ Agensi di Negeri Selangor yang menyelaras dan melaksanakan program bantuan.

    Berdasarkan senario ekonomi masa kini, angka RM1,500.00 kini tidak lagi relevan untuk digunapakai. Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa mengkaji, mengambil maklum dan menyambut baik segala kajian dan laporan yang dijalankan oleh pelbagai pihak seperti Laporan Kebahagiaan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Staistik Pendapatan Garis Kemiskinan Perkapita oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi menentukan paras PGK yang baharu dan memenuhi keperluan pasaran dan ekonomi Negeri Selangor yang dinamik.

Lampiran

Tiada Lampiran.