Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
66) GEJALA SOSIAL DI KALANGAN KANAK-KANAK BAWAH UMUR
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah program yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri bagi menangani masalah sosial di kalangan kanak-kanak bawah umur?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Selangor sentiasa melaksanakan program bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak.
JKMN Selangor menguruskan kes pelindungan kanak-kanak dan jenayah melibatkan kanak-kanak menggunakan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001. Selain itu, JKMN Selangor menganjurkan pelbagai program/perkhidmatan bagi menangani masalah sosial di kalangan kanak-kanak seperti berikut:
- Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK)
Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) menyediakan program berbentuk seminar, kursus dan bengkel serta intervensi berbentuk motivasi, bimbingan kaunseling dan sukan. Sehingga kini, Selangor mempunyai 17 buah PAKK seperti di bawah:
BIL. DAERAH NAMA PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK (PAKK) 1 Petaling - PAKK Taman Medan
- PAKK Taman Putra Damai
- PAKK Shah Alam
- PAKK Subang Jaya
2 Klang - PAKK Taman Seri Perantau
3 Sabak Bernam - PAKK Taman Gemilang
- PAKK Taman Perpaduan
4 Gombak - PAKK Kg. Bendahara
- PAKK Bandar Tasik Puteri
- PAKK Hulu Klang
5 Hulu Selangor - PAKK Wawasan Gemilang
6 Kuala Langat - PAKK Banting Baru
- PAKK Kg. Kundang
7 Sepang - PAKK Salak Tinggi
- PAKK Taman Putra Perdana
8 Kuala Selangor - PAKK Kuala Selangor
9 Hulu Langat - PAKK Kajang
- Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK)
PKKK ditubuhkan di setiap daerah bagi berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan pemulihan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah atau masalah sosial. Ahli PKKK dilantik daripada golongan masyarakat setempat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang kanak-kanak. Selain itu, PKKK akan dianggotai oleh Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Perubatan. Mereka akan membantu Jabatan dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pencegahan jenayah dan kerosakan akhlak dalam kalangan kanak-kanak.
- Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK)
PPKK ditubuhkan di setiap daerah berfungsi sebagai sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak. Di antara aktiviti yang dikendalikan oleh PPKK ialah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang dirancang dan dilaksanakan mengikut keperluan masyarakat setempat.
- Pusat Peduli Kanak-Kanak Negeri Selangor (PPKKN)
Di samping PAKK yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dalam proses mempertimbangkan peruntukan bagi penubuhan 3 Pusat Peduli Kanak-Kanak Selangor di Subang Jaya, Kota Damansara dan Hulu Selangor.
PPKKN ini ditubuhkan sebagai satu strategi di dalam pembangunan komuniti untuk pelindungan, keselamatan dan integrasi sosial kanak-kanak. Ia menumpukan perhatian kepada kanak-kanak yang memerlukan ruang untuk melakukan aktiviti di samping mengisi masa lapang dengan cara yang positif.
PPKKN juga merupakan satu institusi alternatif kepada perlindungan kanak-kanak di dalam komuniti.
- Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak Sahabat Bijak: Safe & Protect.
Kempen ini adalah bagi tujuan:
- Menyebar luas maklumat berkaitan keselamatan kanak-kanak
- Memberi kesedaran kepada ibu bapa/penjaga, guru-guru serta masyarakat tentang pentingnya untuk menjaga keselamatan kanak-kanak
- Memberi pendedahan literasi undang-kepada semua pihak berkaitan hukuman yang dikenakan kepada pesalah kanak-kanak
- Memberi pendedahan kepada kanak-kanak, ibu bapa/penjaga, guru-guru serta masyarakat tentang bentuk-bentuk bantuan berkaitan dengan keselamatan kanak-kanak
JKMN Selangor akan mengadakan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Di Sekolah Sahabat Bijak Sahabat Bijak: Safe & Protect di sekolah-sekolah bagi memberi advokasi kepada kanak-kanak berkenaan hak mereka sebagai kanak-kanak. Program Sahabat Bijak bagi tahun 2019 akan diadakan di daerah berikut seperti jadual di bawah:
- Kuala Langat – 25 Julai 2019
- Sabak Bernam – 31 Julai 2019
- Petaling – 27 Ogos 2019
- Kuala Selangor – 30 Ogos 2019
- Gombak – 3 September 2019
- Hulu Langat – 24 September 2019
- Talian Kasih 15999
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah menyediakan satu talian hotline iaitu Talian Kasih 15999 bagi mana-mana pihak membuat sebarang aduan berkenaan penderaan atau masalah sosial berkaitan kanak-kanak pada bila-bila masa.