Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

83) Geopark Di Bukit Tabur Dan Permatang Kuartza

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagi pembangunan geopark di lokasi di atas:- Apakah peranan utama : LUAS, JPS, JPBD, Jabatan Perhilitan Selangor, JMG Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, MPAJ, MPS, Jabatan Perhutanan dan PDT(Gombak)?

    Geopark adalah satu kawasan dengan keluasan bersesuaian, mempunyai sempadan yang jelas dan mengandungi beberapa tapak warisan geologi yang dikenali sebagai geotapak berkepentingan kebangsaan, serantau atau antarabangsa yang dibangunkan secara lestari bagi meningkatkan apresiasi, tahap ekonomi dan nilai budaya penduduknya terhadap warisan geologi tersebut, terutama melalui penglibatan komuniti dalam aktiviti berteraskan pelancongan.
    PKGS Sebagai Geotapak

    Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) merupakan antara 20 geotapak yang dicadangkan dalam Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor. Antara 20 geotapak lain yang telah dikenalpasti berpotensi adalah kawasan bekas lombong Batu Arang, Tasik Biru, Air Terjun Komanwel, Air Sungai Kanching, Empangan batu, Batu Kapur Batu Caves, Empangan Klang Gate, Air Terjun Sungai Gabai, Granit Gombak (Gunung Nuang) dan Granit Broga (Bukit Broga).

    Peranan Utama Agensi Dalam Pembangunan Geopark
    Dalam memastikan objektif geopark tercapai, LUAS, JPS, JPBD, Jabatan Perhilitan Selangor, JMG Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Perhutanan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT Gombak) merupakan antara agensi berkepentingan yang dilibatkan bersama dalam mempelopori pengurusan Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor.
    Secara umumnya, pihak MPS, MPAJ dan MPKj berperanan dalam proses pemajuan, pemuliharaan serta penggunaan/perancangan tanah dan bangunan yang bersesuaian di bawah kawasan pentadbiran PBT masing-masing. Ini termasuklah dalam proses kebenaran merancang dan kawalan pembangunan yang perlu dijalankan bagi menyokong penubuhan Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor.
    Manakala, agensi teknikal seperti LUAS, JPS, JPBD, Jabatan Perhilitan Selangor, JMG Selangor, Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Perhutanan dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT Gombak) berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dalam kepakaran masing-masing, mengawal selia dan memudahcara proses ke arah pembangunan geopark. Selain itu, agensi-agensi berkepentingan ini juga bertindak dalam memastikan perancangan geopark adalah selaras dengan keperluan akta yang diperuntukkan dan memantau aktiviti yang dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.