Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

149) GERAN MARRIS

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini pengesyoran Kerajaan Negeri kepada Kementerian Kewangan mengenai semak semula Garis Panduan Tatacara Pengurusan Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri?

    Pemberian MARRIS diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membantu Kerajaan Negeri menyelenggara Jalan-Jalan Negeri selaras dengan Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan. Pemberian MARRIS tersebut hanya boleh diguna dan dibelanjakan bagi tujuan menyelenggara Jalan Negeri dan lain-lain skop yang dibenarkan selaras dengan Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

    Satu Jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa  Pengurusan Penyenggaraan Jalan Negeri (JPP MARRIS) telah diwujudkan oleh Kementerian Kewangan selaras dengan Perenggan 15, Garis Panduan MARRIS khusus bagi membincangkan hal ehwal pentadbiran dan isu-isu berkaitan dengan pemberian penyenggaraan Jalan Negeri supaya dapat diselesaikan dengan cepat tanpa dibawa ke peringkat Majlis Kewangan Negara (MKewN). Sebagai rekod, keanggotaan JPP MARRIS ini adalah secara kluster mengikut zon di mana Negeri Selangor telah dilantik sebagai wakil kepada Zon Selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) bagi tahun 2016. Dengan peluang yang ada tersebut, Kerajaan Negeri telah membawa isu-isu yang memerlukan pindaan kepada Garis Panduan MARRIS ke peringkat JPP MARRIS yang bermesyuarat pada 14 April 2016. Di antara isu yang dibawa adalah berkaitan dengan turapan semula jalan di kawasan perumahan komuniti berpagar dan berpengawal (Gated & Guarded) serta pelebaran longkang di bahu jalan bagi menangani masalah banjir.

    Kedua-dua isu tersebut telah dibawa sehingga ke peringkat Majlis Kewangan Negara (MKewN) yang bermesyuarat pada 14 Jun 2016 dengan syor seperti berikut:-

    i. Status Penggunaan MARRIS Bagi Menyenggara Jalan-Jalan Di  Dalam Kawasan Perumahan Berpagar

    Secara prinsipnya, jalan di dalam kawasan perumahan berpagar yang tidak boleh dilalui oleh pengguna awam tidak layak dituntut di bawah pemberian MARRIS kerana ia merupakan kawasan persendirian dan tidak di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). JPP MARRIS bersetuju bahawa jalan-jalan di kawasan perumahan berpagar boleh dipertimbangkan menggunakan Pemberian MARRIS selagi mana jalan- jalan tersebut di bawah tanggungjawab PBT.

    ii. Cadangan Pemberian MARRIS Bagi Kerja-Kerja Pembaikan Jalan/Longkang/Perparitan Yang Mengikut Spesifikasi Piawaian Kerja JKR

    Pembesaran longkang mengikut Spesifikasi Piawaian Kerja JKR boleh dipertimbangkan terutamanya yang bertujuan banjir. JPP MARRIS bersetuju sekiranya terdapat keperluan bagi pembaikan longkang/perparitan yang berkaitan dengan jalan MARRIS, ianya boleh dibawa untuk pertimbangan Kementerian Kewangan secara case by case basis.

Lampiran

Tiada Lampiran.