Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

179) GERAN MARRIS

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kementerian Kewangan telah setuju dangan isu-isu yang memerlukan pindaan kepada Garis Panduan MARRIS yang disyorkan Kerajaan Negeri? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.

    Terdapat dua (2) cadangan pindaan Garis Panduan MARRIS yang substantif telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri kepada Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pemberian (JPP) MARRIS. Perkara tersebut adalah:-

    (i) Had Penyelenggaraan Cerun Setinggi Enam (6) Meter Dicadang Untuk Dimansuhkan

    Garis Panduan sedia ada menetapkan bahawa had pembaikan cerun yang yang runtuh adalah terhad kepada ketinggian enam (6) meter atas dan enam

    (6) meter cerun bawah sahaja. Manakala, keruntuhan cerun yang bersifat major hendaklah dirujuk kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), JKR Malaysia untuk cadangan pembaikan.

    Kerajaan Negeri berpendapat kebanyakan cerun adalah memiliki ketinggian secara semulajadi seperti sifat asalnya atau ketinggian buatan setelah diolah akibat aktiviti pembangunan. Ironinya, kebanyakan cerun memiliki ketinggian melebihi enam (6) meter. Had ketinggian ini menyebabkan cerun-cerun tidak dapat diselenggara secara keseluruhan.

    Keduanya, sebarang keruntuhan cerun jika berlaku hendaklah dirujuk kepada CKC, JKR Malaysia untuk mendapatkan nasihat teknikal dan juga peruntukan khusus untuk pembaikan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri difahamkan CKC, JKR Malaysia telah pun menerima rujukan untuk menyelenggara cerun-cerun di seluruh Malaysia dengan menggunapakai

    peruntukan yang terhad. Situasi ini menyebabkan kes-kes cerun runtuh di Negeri Selangor tidak dapat diperbaiki dengan segera kerana pihak CKC, JKR Malaysia kerap kali mengemukakan maklum balas bahawa tiada peruntukan dapat diberikan kepada pihak Kerajaan Negeri.

    Mesyuarat JPP MARRIS yang menimbang perkara ini berpandangan cerun yang runtuh tanpa mengira ketinggian tidak lagi dapat dikembalikan kepada ciri asalnya atas sebab pembaikan cerun akan menggunapakai elemen tambahan bagi mengelakkan keruntuhan semula seperti kaedah gabion wall, retaining wall dan lain-lain kaedah yang bersesuaian. Elemen tambahan ini menunjukkan kerja-kerja tersebut merupakan kerja naiktaraf dan bukan lagi kerja penyelenggaraan. Maka, penggunaan peruntukan MARRIS pada asasnya tidak lagi bersesuaian.

    (ii)   Naiktaraf Longkang Selaras Dengan Pembangunan  Persekitaran Dibenarkan.

    Seperti mana sedia maklum, peruntukan MARRIS adalah dikhususkan untuk tujuan penyelenggaraan selaras dengan skop yang dibenarkan di bawah Garis Panduan MARRIS dan sebarang aktiviti naiktaraf menggunapakai peruntukan ini adalah tidak dibenarkan. Ini bermaksud kerja pembaikan longkang boleh dilaksanakan tetapi terhad untuk mengembalikan ciri asalnya di mana kerja pembaikan tidak boleh memasukkan kerja melebar atau mendalamkan longkang tersebut.

    Kerajaan Negeri berpendapat adalah tidak cekap sekiranya aktiviti pembaikan longkang yang hendak dibuat mengekalkan lebar dan kedalaman asalnya sungguhpun disedari kapasiti longkang tersebut tidak boleh lagi menampung jumlah air larian permukaan yang dibawa dari kawasan- kawasan sekitarnya terutama jika kawasan tersebut telah pun dibangunkan dan kerap kali mengalami masalah banjir. Justeru, kerja-kerja pembaikan longkang tersebut perlu menyelesaikan masalah in-situ dan memenuhi kehendak semasa. Sebagai sebuah Negeri Maju, Kerajaan Negeri berpandangan pindaan ini amat penting kerana ia bakal menyelesaikan banyak masalah penduduk setempat.

    Perkara ini telah diambil maklum oleh Mesyuarat JPP MARRIS tetapi tiada pindaan Garis Panduan MARRIS diluluskan. JPP MARRIS berpandangan Kerajaan Negeri perlu menggunakan Vot Pembangunan semasa kerja naiktaraf dilaksanakan untuk mengelak sebarang perbelanjaan yang bercanggah dengan maksud Perkara 109(1)(b), Perlembagaan Persekutuan iaitu aktiviti penyelenggaraan. Sungguhpun begitu, Mesyuarat Majlis

    Kewangan Negara yang mengambil maklum isu ini bersetuju agar kerja-kerja melebar longkang dikemukakan untuk pertimbangan kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) secara case by case basis.

Lampiran

Tiada Lampiran.