Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

133) GOLONGAN B40

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah Kerajaan Negeri ada membuat penelitian semula kaedah atau syarat penerima bantuan yang hanya fokus kepada e-Kasih sahaja?

    Untuk makluman Yang Berhormat Taman Templer, program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan dan diberikan kepada rakyat Negeri Selangor merupakan program yang bersasar dan berfokus kepada golongan-golongan tertentu seperti golongan warga emas, usahawan, pelajar, wanita dan bertaraf B40. Pada penghujung tahun ini, semua program IPR akan menggunakan Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) yang merupakan satu gerbang kepada rakyat Negeri Selangor untuk mendaftar dan memohon semua IPR yang layak mereka terima.

    Melalui SSIPR, kelayakan pemohon boleh dikenal pasti melalui mekanisma penentuan kelayakan penerima bantuan IPR melalui pelbagai saluran dan medium daripada Agensi-Agensi pemegang data pendapatan isi rumah seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM). Kelayakan penerima akan disemak silang dengan data Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada LHDN dan seterusnya akan disemak silang dengan data Sistem eKasih daripada ICU, JPM. Semakan silang ini adalah penting dalam memastikan pemohon yang benar-benar berkelayakan dapat menerima bantuan yang sewajarnya diterima oleh mereka. Di antara program IPR yang telah menjalankan semakan seperti ini adalah Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Air Darul Ehsan (SADE), Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT), Bantuan Sihat Selangor (BSS) dan Skim Peduli Sihat Selangor (SPSS).

Lampiran

Tiada Lampiran.