Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

98) GOLONGAN MISKIN BANDAR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah gagasan Kerajaan Negeri untuk membantu dan mengurangkan peratusan golongan miskin bandar dan apakah Kerajaan bercadang untuk meneliti semula kriteria Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang digunakan oleh Kerajaan Negeri ?

    Kerajaan Negeri dalam usaha untuk membela nasib rakyat miskin di Negeri Selangor dengan mewujudkan program-program yang bersesuaian mengikut keperluan individu dan keluarga. Usaha ini diselaraskan bagi membantu mereka yang memerlukan dengan sasaran jangka panjang memastikan mereka dapat berdikari.

    Antara program yang ditawarkan adalah seperti berikut :

    1. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor diwujudkan bertujuan membantu golongan sasar berdikari dan menambahbaik perusahaan atau bidang tertentu yang telah diusahakan bagi menambah pendapatan sedia ada. Program ini diselaraskan dengan memberi bantuan berbentuk peralatan dan mesin kepada pemohon yang layak diberi bantuan.

    1. Program Kemahiran Teknikal

    Kerajaan Negeri telah menyediakan kemudahan Program Kemahiran Teknikal dengan kerjasama Kolej Internasional INPENS di Kuala Selangor dimana peluang melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran ini dibuka kepada seluruh pelajar miskin di  Negeri Selangor untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi dan ini diharap dapat mengelakkan jurang pendidikan dan masalah keciciran di kalangan pelajar.

    1. Bantuan Kesihatan

    Subsidi bagi Rawatan Hemodialisis untuk pesakit buah pinggang.

    Bantuan pembelian kanta untuk pembedahan katarak.

    Bantuan kos pembedahan sehingga RM2,000.00.

    Derma peralatan sakit: Kerajaan Negeri menderma 1 mesin dialisis berharga RM50,000 kepada Persatuan Hemodialisis di Klang. 20 kerusi roda dan topang didermakan kepada individu yang memerlukan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kelab Rotary. Kerajaan negeri juga menyediakan bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan kerusi roda khas berharga RM2,000 hingga RM5,000 setiap satu.

    1. Program Bantuan Niaga

    Memberi bantuan peralatan, ruang dan peluang perniagaan khusus kepada peniaga kecil dan mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan serta mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap bidang niaga.

    Menyediakan Pakej bantuan niaga berbentuk kiosk dan produk MiMBAR Selangor kepada peserta bagi menambah pendapatan sampingan.

    1. Program Mikrokredit

    Memberi bantuan pinjaman mikrokredit TANPA FAEDAH & CAJ PENGURUSAN dari RM1,000-RM5,000 dalam jangka masa pendek iaitu selama 18 bulan.

    Program ini diwujudkan khusus untuk PENIAGA KECIL menambah dana perniagaan dan mestilah mampu membayar semula pinjaman mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    1. Program Bantuan Kerja

    Merupakan inisiatif baru yang mengambil dasar Workfarebagi membantu rakyat Selangor lebih berdikari dan dapat menjana pendapatan sampingan dengan tawaran pakej-pakej bantuan kerja yang disediakan.

    1. Pakej MiMBAR Kleaner

    MiMBAR Selangor menyediakan peralatan mencuci permaidani berjumlah RM9,000 kepada rakyat negeri Selangor yang menepati syarat-syarat kelayakan bagi menambahkan pendapatan sampingan. Pakej ini adalah secara berkumpulan yang terdiri daripada 3 orang. Namun jumlah pinjaman dan bayaran balik pinjaman adalah secara persendirian.

    1. Program-program yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor

    (LZS)

    LZS (MAIS) telah merangka agenda dalam membentuk asnaf yang bukan sahaja mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan, tetapi juga dapat memenuhi keperluan rohani menjadi insan yang rabbani.

    Berdasarkan pencapaian yang diperolehi bagi tempoh 5 tahun pemerintahan Pakatan Rakyat (2008-2013), Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk meminda Paras Garis Kemiskinan (PGK) sebanyak RM1,500.00 yang diguna pakai sejak ia diumumkan. Walau bagai mana pun, Kerajaan Negeri akan meneliti semula sekiranya terdapat  kes-kes terpencil yang kritikal dan memerlukan bantuan daripada Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.