Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

135) GOLONGAN MISKIN TEGAR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan miskin tegar dan miskin serta peluang yang mereka boleh perolehi untuk mengubah nasib mereka?

    Usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi supaya dapat keluar daripada kitaran kemiskinan. Bagi membolehkan Negeri Selangor mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi terutamanya terhadap golongan miskin tegar dan miskin, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”.

    Untuk makluman Yang Berhormat Taman Templer, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa peka kepada golongan miskin tegar dan miskin. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan kepada golongan ini. Seperti yang semua sedia maklum, di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang telah dijalankan sejak 2008 telah berjaya memberi manfaat kepada seramai 4,506 orang miskin di Negeri Selangor dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14,507,493.10 bantuan yang diberikan adalah berbentuk mesin/ peralatan secara percuma khusus kepada golongan miskin yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai punca mata pencarian.

    Tidak ketinggalan juga program bantuan perayaan RM100.00 kepada warga miskin melalui Program Bantuan Baucar Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan. Program yang telah dilaksanakan sejak 2012 hingga kini itu telah membantu seramai 609,632 orang miskin dalam persediaan menyambut perayaan dengan peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan sebanyak RM60,963,200.00.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peluang kepada golongan miskin tegar dan miskin melalui program-program pembasmian kemiskinan dan pengupayaan ekonomi. Program-program tersebut adalah seperti berikut:-

    • Bas Smart Selangor;
    • Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS);
    • Bekalan Air Percuma 20 Meter Padu Pertama;
    • Wifi Smart Selangor;
    • Bantuan Kebajikan Masyarakat (Bantuan Am) di bawah JKM Negeri Selangor;
    • Bantuan Bina dan Baiki Rumah Kerajaan Prihatin;
    • Bantuan Sihat Selangor;
    • Hadiah Pengajian IPT;
    • Skim Smart Sewa; dan
    • Program Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang.

     

    Jelaslah bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan peluang saksama kepada golongan miskin untuk turut serta dalam pertumbuhan ekonomi bagi menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang tanpa mengira kaum, jantina dan latar belakang.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.