Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

75) GOLONGAN MISKIN TEGAR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan miskin tegar dan miskin serta peluang yang mereka boleh perolehi untuk mengubah nasib mereka?

    Usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi supaya dapat keluar daripada kitaran kemiskinan. Bagi membolehkan Negeri Selangor mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi terutamanya terhadap golongan miskin tegar dan miskin, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Kerajaan Negeri juga sentiasa menyediakan peluang saksama kepada golongan miskin untuk turut serta dalam pertumbuhan ekonomi akan menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan dan pemilikan perniagaan/ perusahaan tanpa mengira kaum, gender dan latar belakang. Kerajaan Negeri Selangor peka kepada golongan miskin tegar dan miskin. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor tidak ketinggalan dalam menghulurkan bantuan kepada golongan ini. Seperti yang semua sedia maklum, di bawah Standco Kesihatan, bantuan Skim Peduli Sihat telah diperkenalkan khusus dalam membantu golongan miskin mendapatkan rawatan pemeriksaan di klinik-klinik swasta secara percuma. Di bawah Standco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu pemberian mesin/ peralatan secara percuma khusus kepada golongan miskin berpendapatan seisi rumah RM3000 ke bawah yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai punca mata mencarian. Tidak ketinggalan juga program tajaan penuh kepada pelajar miskin melalui Program Tajaan Teknikal kepada INPENS International College yang dilaksanakan sejak 2008 hingga 2018. Begitu juga dengan Standco Permodenan Pertanian, yang menyediakan Bantuan Nelayan dan Akuakultur khusus buat golongan nelayan miskin di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh dan meliputi semua golongan miskin di Negeri Selangor serta tidak fokus kepada golongan miskin tegar sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.