Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

126) GOLONGAN MISKIN TEGAR

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan miskin tegar dan peluang yang mereka perolehi untuk mengubah nasib mereka?

    Untuk makluman Yang Berhormat Taman Templer, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi sentiasa prihatin dan peka dalam membasmi kemiskinan di kalangan rakyat dengan membantu masyarakat meningkatkan tahap pendapatan dan keadaan sosio ekonomi supaya mereka dapat keluar daripada kitaran kemiskinan. Dengan mengambil pendekatan “peduli rakyat”, Kerajaan Negeri dapat mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi terutamanya terhadap golongan miskin tegar.

    Seperti yang semua sedia maklum, di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan yang telah dijalankan sejak 2008 telah berjaya memberi manfaat kepada seramai 4,506 orang miskin tegar di Negeri Selangor dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM14,507,493.10. Bantuan yang bebentuk mesin/ peralatan diberikan secara percuma khusus kepada golongan miskin yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai punca mata pencarian.

    Tidak ketinggalan juga program bantuan perayaan RM100 kepada warga miskin melalui Program Bantuan Baucar Untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan. Program yang telah dilaksanakan sejak 2012 hingga kini itu telah membantu seramai 609,632 orang miskin dalam persediaan menyambut perayaan dengan peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan sebanyak RM60,963,200.00.

    Dengan ungkapan “ Hasil Negeri Untuk Rakyat Selangor” Kerajaan Negeri turut menyediakan peluang kepada golongan miskin tegar dan miskin melalui program-program pembasmian kemiskinan dan pengupayaan ekonomi. Program-program tersebut adalah seperti berikut:-

    • Bantuan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS);
    • Bas Smart Selangor;
    • Skim Air Darul Ehsan;
    • Bantuan Kebajikan Masyarakat (Bantuan Am) di bawah JKM Negeri Selangor;
    • Wifi Smart Selangor;
    • Bantuan Bina dan Baiki Rumah;
    • Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang;
    • Hadiah Pengajian IPT;
    • Tawaran Pinjaman Pelajaran di bawah Yayasan Selangor;
    • Program Khas Peduli Siswa;
    • Skim Hijrah Selangor;
    • Dana Usahawan Mikro; dan
    • Skim Smart Sewa.

    Jelaslah bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyediakan peluang saksama kepada golongan miskin tegar untuk turut serta dalam pertumbuhan ekonomi bagi menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang tanpa mengira kaum, jantina dan latar belakang.

Lampiran

Tiada Lampiran.