Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

191) GUGUSAN EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan strategi dan aktiviti yang diaturkan untuk Gugusan Ekonomi Selangor

    1. Sebagai sebuah Negeri yang maju dan berkembang pesat, Negeri Selangor perlu mempunyai asas ekonomi yang produktif, stabil dan mempunyai nilai tambah dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian. Selain itu, Selangor perlu mempunyai daya saing yang tinggi di peringkat nasional dan global bagi menarik pelaburan domestik dan asing yang berkualiti tinggi bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.

     

    Bagi mengekalkan prestasi Negeri Selangor sebagai pemacu ekonomi negara dan berkembang terus maju, aktiviti ekonomi akan dipelbagaikan melalui penggunaan sumber ekonomi semulajadi yang mampan sama ada yang boleh diperbaharui atau tidak boleh diperbaharui serta memperkenalkan asas ekonomi baru yang inovatif. Kepelbagaian ekonomi ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk lokaliti, “spatial”, rangkaian bekalan (supply chain) dan ekosistem bagi mewujudkan pengkhususan aktiviti dan membolehkan penyediaan infrastruktur, kemudahan galakan (insentif) dan latihan yang bersesuaian secara bersepadu dan efisien. Pengklusteran atau gugusan ekonomi yang dimaksudkan ini bukanlah suatu pembangunan wilayah ‘superficial’ atau ‘inorganic’ akan tetapi berteraskan kemampuan serta potensi sedia ada daerah-daerah seluruh Selangor. Pembangunan aktiviti ekonomi ini akan disalurkan ke pusat-pusat pertumbuhan strategik yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi dan meningkatkan daya saing Selangor sebagai pemacu ekonomi Negara.

     

     

    Matlamat klusterisasi adalah untuk:-

     

    1. Mewujudkan ekonomi yang produktif, stabil & mempunyai nilai tambah;
    2. Memperkukuhkan daya saing bagi menarik pelaburan domestik dan asing yang berkualiti tinggi;
    • Menjana pertumbuhan ekonomi setempat yang berkualiti bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang progresif.

     

    Kluster yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar merupakan koridor ekonomi sedia ada yang telah berkembang tetapi perlu dipertingkatkan bagi mewujudkan ekonomi yang lebih kukuh.

    Bagi menjayakan Klusterisasi Negeri Selangor ini, pihak UPEN akan mengadakan bengkel bagi membentuk rangka kerja dan pelan tindakan seterusnya membuat pemantauan melalui pelaporan status bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh agensi/jabatan dalam setiap kluster dan pelaporan status tersebut akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor secara berkala.

Lampiran

Tiada Lampiran.