Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

23) GUGUSAN INDUSTRI TERPILIH DAN INDUSTRI PERKHIDMATAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana untuk pelaksanaan Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan dilaksanakan di Rawang?

    Klusterisasi Negeri Selangor merupakan inisiatif yang telah mengenalpasti sembilan (9) kluster yang diberi penumpuan oleh Kerajaan Negeri bagi memantapkan kekuatan di suatu kawasan tumpuan dengan menfokuskan kelebihan sedia ada melalui penyeragaman persamaan bagi melengkapkan aksesibiliti dan prasarana fizikal yang berkaitan. Pelaksanaan kluster ini dijangka mampu untuk mempertingkatkan daya saing Negeri Selangor di peringkat nasional dan global bagi menarik pelaburan domestik dan asing yang berkualiti tinggi dan seterusnya, menjana pertumbuhan ekonomi setempat yang berkualiti bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang mapan.

    Antara kluster yang disenaraipendek adalah Kluster Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan yang telah dipertanggungjawabkan kepada Invest Selangor Berhad (ISB) sebagai Ketua Kluster bagi melihat hala tuju dan perancangan bersesuaian secara holistik. Bagi tujuan ini Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal telah diadakan membabitkan penggiat industri yang berkaitan, antaranya Central Spectrum Sdn. Bhd., National Institute of Biotechnology Malaysia (NIBM), Malaysia Bioeconomy Development Corporation, Tourism Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Berdasarkan perbincangan dan kajian yang terperinci berkaitan keupayaan dan peluang yang terdapat di dalam industri sedia ada di bawah kluster ini, ahli jawatankuasa bersetuju untuk memilih dan memberi fokus kepada industri halal, bioteknologi dan pelancongan kesihatan. Cadangan ini seterusnya telah dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan dipersetujui. Berdasarkan pindaan ini, kawasan penumpuan bagi Kluster Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan juga telah dialihkan ke kawasan baru iaitu di kawasan Pulau Indah bersesuaian dengan subsektor yang telah dipilih.

    Walaupun kawasan Rawang telah dikeluarkan daripada kawasan fokus bagi kluster ini, Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau industri berteraskan kepada potensi sedia ada di kawasan tersebut bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan. Memandangkan Rawang mempunyai industri bercampur-campur dan berdekatan dengan kawasan Serendah yang tersenarai di bawah Kluster Aeroangkasa dan Automotif, Kerajaan Negeri berpendapat Rawang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai industri sokongan dan menjadi tulang belakang kepada pembekalan komponen-komponen penting dalam menggerakkan industri besar dan melengkapkan ekosistem bagi kluster-kluster terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.