Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

116) HAB HALAL

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah visi dan matlamat penubuhan Hab Halal ini?

    Kerajaan Negeri Selangor mengambil perhatian akan peningkatan permintaan terhadap produk-produk Halal bukan sahaja daripada penduduk tempatan bahkan juga daripada luar negara. Justeru, Kerajaan Negeri menyedari akan keperluan menubuhkan Hab Halal peringkat negeri dan seterusnya membantu perkembangan ekonomi Negeri Selangor.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah melihat ke arah hadapan dengan mewujudkan visi dan matlamat penubuhan Hab Halal iaitu bagi mewujudkan satu pusat sehenti bagi produk-produk halal melalui pengenalan eko-sistem Halal yang membolehkan penubuhan operasi yang lancar dan mengurangkan masa menunggu serta memastikan amalan dan prosedur yang ringkas dalam menjalankan perniagaan seperti makanan dan minuman, produk kecantikan dan farmaseutikal serta bahan-bahan mentah.

    Melalui Persijilan Halal Negeri Selangor kelak, ianya merupakan suatu pengiktirafan yang menunjukkan kehalalan sesuatu hasil makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam berasaskan kepada hukum Syarak yang diamalkan dalam negeri Selangor. Ini bertujuan untuk mengatasi kekeliruan dan keraguan yang timbul dikalangan pengguna Islam berkaitan dengan kehalalan atau kesucian sesuatu makanan, minuman dan bahan gunaan yang dikeluarkan dalam negeri ini. Oleh itu, ia perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam Garis Panduan Premis yang membuat penyediaan / pemprosesan / masakan makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan semua pengusaha makanan,bahan gunaan dan pihak yang berkaitan yang dapat memenuhi kriteria-kriteria halal yang telah ditetapkan dalam ” Garis Panduan” berkenaan layak untuk memohon Sijil Persijilan Halal Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.